TUAN IBRAHIM: HUSAM TAK PERLU JADI TOK NUJUM

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa agar tidak menjadi tukang tilik.

Sebaliknya menurut beliau, adalah lebih baik anggota dewan undangan negeri (ADUN) Salor itu fokus untuk menyerang BN daripada menyerang PAS.

“Husam tak perlu jadi tok nujum, sebab memang tiada kerjasama politik pun dengan Umno,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan Husam mengenai bekerjasama PAS dan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Bagaimanapun menurut Husam, usaha itu gagal dilaksanakan apabila mendapat tentangan pemimpin kanan parti itu termasuk penasihat PAS.

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak pernah membincangkan perkara tersebut dan Majlis Syura Ulama juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

“Parti tidak pernah bincang perkara tersebut dan syura pun telah keluar kenyataan.

“Lebih baik beliau fokus untuk menyerang BN daripada menyerang PAS,” katanya.

Sementara itu Penasihat PAS, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya sekarang berpuasa daripada memberi kenyataan kepada media. Minta maaf,” katanya ringkas.

– M’kini

.