TSUNAMI MELAYU SEKADAR STRATEGI PEMBANGKANG – KA SIONG

TIADA perubahan besar dalam pertukaran kerusi antara parti komponen BN di Johor untuk menghadapi PRU akan datang.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yakin BN Johor mampu merampas semula beberapa kerusi parlimen dan Dun yang telah kalah di tangan pembangkang pada PRU lalu.

“Saya tidak pasti apakah pembangkang mampu menang 20 kerusi parlimen dan Dun seperti yang didakwa mereka.

“Pembangkang mendakwa kononnya pada PRU akan datang, bakal berlaku ‘tusnami Melayu’. Saya rasa itu hanya strategi dan angan-angan pembangkang,” katanya seperti dipetik dalam Oriental Daily.

Kata Ka Siong, MCA masih menerima sokongan yang padu daripada pengundi Cina di Johor dan yakin MCA akan mencapai kemenangan yang cemerlang pada PRU kali ini.

“Pada PRU kali ini juga, saya harap Pemuda MCA akan memainkan peranan yang lebih penting dengan menarik seberapa ramai golongan belia Cina untuk menyertai MCA.

“MCA Johor telah melatih 30 orang untuk membantu MCA di media siber, terutama sekali menangkis kenyataan-kenyataan tidak berasas daripada pembangkang,” katanya.

– Sinar Harian

.