TSUNAMI MELAYU DIJANGKA TERCETUS PADA PILIHAN RAYA AKAN DATANG, KATA MUHYIDDIN

TSUNAMI Melayu dijangka melanda pada pilihan raya umum akan datang dan tiada apa yang Umno boleh akukan untuk menghalangnya kerana orang Melayu hilang kepercayaan terhadap parti itu, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu itu berkata semakin ramai sedar Umno hanya sibuk pertahankan pemimpin daripada memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara, dan mereka beralih kepada Bersatu.

Muhyiddin berkata keadaan itu menyebabkan Umno bimbang kerana berdepan dengan gelombang penentangan walaupun daripada akar umbi parti itu sendiri.

Kebimbangan itu katanya semakin ketara apabila pemimpin Umno mula menyerang pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengancam membuat pendedahan mengenai bekas perdana menteri itu sekiranya tidak berhenti mengkritik Perdana Menteri Najib Razak, katanya.
“Saya merasakan bahawa pemimpin Umno sedang gelabah. Mereka tahu bahawa rakyat dan orang Melayu sendiri, termasuk ahli akar umbi sedang menolak parti. Dalam setiap program anjuran PPBM, ribuan orang Melayu hadir dan ramai daripada mereka dahulunya adalah penyokong Umno,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Malah katanya Bersatu kini berjaya menembusi kawasan Felda yang merupakan kubu kuat Umno. Kawasan itu katanya tidak pernah berjaya ditembusi oleh parti pembangkang.

“Kini, dengan kehadiran PPBM bukan sahaja kawasan ini dapat ditembusi, malah ribuan hadir untuk mendengar ucapan Mahathir, saya, Mukhriz dan pemimpin pembangkang lain.

“Fenomena ini sedang berlaku di seluruh negara. Malah, beberapa hari lalu di Melaka, iaitu sebuah negeri yang dikatakan antara kubu kuat Umno selepas Johor, puluhan ribu rakyat hadir ke majlis sambutan Aidilfitri PPBM. Ini adalah sesuatu yang saya sendiri tidak jangkakan semasa menubuhkan PPBM,” ujarnya.

Kepercayaan semakin meningkat dalam kalangan Melayu, katanya, ia mampu mewujudkan tsunami Melayu pada pilihan raya umum akan datang dan mampu mengubah kerajaan.

Katanya, rakyat melihat Umno dahulunya berjuang membela nasib orang Melayu, kini berubah menjadi parti yang membela kepentingan seorang individu, iaitu presiden parti.

“Lebih banyak kedengaran suara pemimpin Umno mengecam Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana mengambil tindakan undang-undang terhadap petualang 1MDB daripada mendesak kerajaan menghapuskan GST, mengawal harga barang, menghentikan pengenalan cukai baharu, menyediakan biasiswa pendidikan kepada pelajar Melayu, menambahkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Melayu dan mempertahankan Bahasa Melayu.

“Kerana itulah kebanyakan akar umbi parti itu menyertai Bersatu. Mereka tidak lagi percaya kepada Umno yang mengkhianati perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Najib dikaitkan dengan skandal 1MDB dan dituduh menerima berbilion ringgit yang diambil daripada dana itu. Dia disahkan sebagai “Malaysia Official 1” dalam saman DoJ yang mendakwa MO1 dan isterinya mengambil wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Muhyiddin turut menyuarakan kekecewaannya apabila pemimpin Umno memilih untuk berdiam diri berhubung masalah itu, sebaliknya menyerang pembangkang.

Selain Zahid, ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut meminta Dr Mahathir meletakkan jawatan daripada politik. Ahli majlis tertinggi Umno yang juga ketua Umno Muar Razali Ibrahim turut mencabar Muhyiddin bertanding di Parlimen Muar pada pilihan raya akan datang.

Muhyiddin berkata beliau kecewa dengan Khairy kerana sebagai ketua pemuda dengan suara dan pemikiran belia, dia sepatutnya meminta Najib meletakkan jawatan bukan Mahathir.

“Mendesak seorang pemimpin parti pembangkang yang tidak mempunyai kuasa supaya bersara bukanlah satu bentuk keberanian. Sebaliknya mendesak Najib yang mempunyai segala kuasa di tangannya supaya berundur dan bersara adalah lambang keberanian anak muda sebenarnya.

“Adakah Khairy dan barisan kepimpinan sayap Pemuda Umno masih memiliki idealisme pemuda? Atau adakah idealisme Pemuda Umno telah hilang entah ke mana kerana dijangkiti virus Cash is King?” Katanya.

Muhyiddin berkata Zahid, Khairy dan Razali merupakan sahabatnya ketika dalam Umno, dan mereka turut menyedari masalah sebenar dalam parti itu.

Katanya ada di antara mereka memintanya menyelesaikan masalah itu dan menggesa melakukan sesuatu sebagai orang nombor dua dalam parti untuk memperbetulkan kepincangan dalam negara.

“Namun anehnya, saya dan mereka mengambil jalan yang berbeza. Saya pun tahu masalah besar melanda Umno dan negara ketika itu. Saya tiada jalan lain untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti dan kerajaan selain memilih bersuara menyatakan kebenaran walaupun pahit.

“Sebaliknya, mereka semua memilih untuk berdiam diri dan menutup kebenaran. Bukan setakat itu sahaja, mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin parti yang mereka sendiri tahu melakukan kerosakan amat besar kepada negara. Akhirnya, mereka kekal dalam parti dengan segala pangkat, kedudukan dan jawatan mereka.”

Muhyiddin yang lantang bersuara menggunakan saluran dalaman parti mempersoalkan Najib cara menguruskan skandal 1MDB, sebaliknya dipecat sebagai timbalan perdana menteri, menteri pendidikan dan timbalan presiden Umno.

“Mungkin kerana perancangan Allah itu lebih baik, saya tidak lagi berada di dalam Umno dan tidak perlu lagi bersekongkol dengan mereka.

“Yang membezakan kami adalah kebenaran. Tun Mahathir, saya, Shafie dan Mukhriz memilih untuk menyatakan kebenaran demi menyelamatkan rakyat dan negara. Tetapi mereka semua memilih menutup kebenaran semata-mata bagi menjaga kepentingan seorang individu,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.