TRUMP MUNGKIN IKTIRAF JERUSALEM IBUNEGARA ISRAEL MINGGU DEPAN – PEGAWAI

Presiden Donald Trump mungkin mengumumkan minggu depan Amerika Syarikat mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel, kata seorang pegawai kanan pentadbiran pada hari Jumaat, satu langkah yang akan mengakhiri berdekad dasar Amerika dan mungkin menimbulkan ketegangan di Timur Tengah.

Trump mungkin membuat pengisytiharan kontroversi itu dalam ucapan pada hari Rabu walaupun dia juga dijangka sekali lagi melambatkan janji kempennya untuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Jerusalem dari Tel Aviv. Seorang pegawai kanan dan dua sumber kerajaan yang lain berkata keputusan muktamad belum lagi dibuat.

Palestin mahu Jerusalem sebagai ibu negara mereka, dan masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf dakwaan Israel ke atas keseluruhan bandar itu, yang menjadi tempat suci kepada agama Yahudi, Muslim dan Kristian.

Desas-desus mengenai rancangan pengumuman Trump itu, yang akan menyimpang dari presiden Amerika sebelumnya yang bertegas bahawa status Jerusalem mesti diputuskan dalam rundingan, telah mengundang kecaman dari Pihak Berkuasa Palestin dan pasti menimbulkan kemarahan dunia Arab.

Ia juga boleh membantutkan usaha baru pentadbiran AS, yang diketuai menantu Trump dan penasihat kanan Jared Kushner, untuk memulakan semula rundingan damai Israel-Palestin dan mendapatkan sokongan dari sekutu Arab.

Nabil Abu Rdainah, jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata pengiktirafan AS terhadap Jerusalem sebagai ibu negara Israel akan “memusnahkan proses damai” dan “menjejaskan kestabilan rantau ini.”¬†[Baca berita penuh]

– Reuters

.