TRUMP LAWAT ASIA TAPI TIDAK PUTRAJAYA

Enam belas hari selepas Datuk Seri Najib Razak bertentang mata dengan Donald Trump, hari ini diumumkan presiden AS itu akan berziarah ke Asia pada November ini.

Reuters melaporkan lawatan berkenaan dijadual berlangsung antara 3 hingga 15 November.

Destinasi yang dituju Trump: Tokyo, Seoul, Beijing, Hanoi, Manila dan Hawaii. Namun Putrajaya tidak termasuk dalam jadual lawatan Trump.

Sejak mengangkat sumpah sebagai presiden ke-45 AS pada minggu ketiga Januari lalu pelbagai pemimpin asing sudah menjejakkan kaki ke Rumah Putih.

Mereka termasuk ketua-ketua eksekutif Jepun, Korea Selatan dan Vietnam. Presiden China Xi Jinping pula bertemu Trump di pusat perangian Mar-a-lago di Florida pada Julai lalu.

Bagaimanapun – tidak seperti kebanyakan pemimpin lain – Presiden Filipina Rodrigo Duterte menolak jemputan Rumah Putih.

Duterte memang dikenali seorang pemimpin yang ranggi dan tidak menapis kata-katanya kepada sesiapa saja termasuk presiden AS.

Kelihatan lawatan Trump ke negara-negara terpilih di Asia itu adalah kunjungan balasnya, kecuali untuk kes Filipina.

Untuk kunjungan ke Filipina Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-31 yang berlangsung dari 10 hingga 14 November.

Lawatan amat berjaya

Najib berkunjung ke Washington ketika namanya menjadi sebutan pembangkang kerana skandal 1MDB dan pihak berkuasa AS mengambil tindakan undang-undang bagi merampas semula aset yang didakwa diperoleh menggunakan dana syarikat pelaburan milik Malaysia itu.

Sesetengah pengkritik mendakwa Najib sengaja berkunjung ke AS untuk membuktikan beliau tidak terbabit dalam saman Jabatan Keadilan AS bagi mendapatkan semula aset berkenaan.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menganggap lawatan itu memalukan rakyat Malaysia.

Semasa bercakap di depan Trump, Najib memberitahu bertujuan Malaysia meningkatkan pelaburan di AS sebagai langkah membantu mengukuhkan ekonomi negara berkenaan.

“Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan.

“Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS,” katanya.

Mempertahankan dirinya daripada kritikan Najib kemudian menjelaskan lawatan itu sebenarnya amat berjaya.

Katanya beliau tidak pergi ke AS untuk meminta sedekah atau melulut, tetapi bagi menunjukkan bahawa Malaysia telah sampai ke tahap global.

Beliau kemudian menceritakan bagaimana Trump melayan beliau dengan ramah, termasuk bersungguh mahu mengiringinya ke kereta yang berada di tingkat bawah tanah.

Dalam kenyataan dikeluarkan Rumah Putih Trump akan menghadiri beberapa sidang kemuncak serantau serta membincangkan hal berkaitan perdagangan.

Turut tidak ketinggalan ialah perbincangan mengenai ancaman senjata nuklear Korea Utara.

“Pembabitan presiden akan mengukuhkan penyelesaian antarabangsa bagi menghadapi ancaman Korea Utara dan memastikan usaha membebaskan semenanjung Korea daripada ancaman nuklear dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

– M’kini

.