TPM II CADANGAN PERIBADI SAYA, KATA BEKAS SETIAUSAHA MCA

Bekas Timbalan Setiausaha Agung MCA Datuk Loke Yuen Yow hari ini mengesahkan bahawa pada tahun 2009, pernah mencadangkan jawatan timbalan perdana menteri kedua diberikan kepada wakil MCA.

Walau bagaimanapun, Loke berkata, beliau membuat cadangan itu dalam kapasiti peribadi.

Menurut laporan edisi petang akhbar Sin Chew hari ini, Loke dipetik sebagai berkata pelantikan seorang timbalan perdana menteri Cina kedua akan memberi petunjuk bahawa MCA dihormati dan membolehkan parti itu untuk menjalankan fungsinya dengan lebih cekap.

Beliau berkata tindakan itu juga akan membantu MCA menarik lebih ramai sokongan kaum Cina.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencetuskan polemik apabila beliau memberitahu satu forum di Putrajaya bahawa DAP sedang mengintai jawatan timbalan perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum akan datang.

Penyokong Umno tanpa berlenggah, menggunakan isu itu untuk menakut-nakutkan masyarakat Melayu manakala DAP menafikan pernah membuat tuntutan sedemikian.

Mahathir kemudian menjelaskan bahawa beliau tersilap berhubung apa yang dikatakan oleh Loke dengan DAP.

Hari ini, Loke bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Mahathir itu kerana dirinya bukan lagi pemimpin MCA.

Bagi Loke, jawatan timbalan perdana menteri pertama perlu kekal disandang oleh wakil Umno kerana perlembagaan persekutuan tidak membenarkan bukan Islam atau bukan bumiputera untuk menjadi perdana menteri.
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat jawatan timbalan perdana menteri kedua perlu diserahkan kepada MCA kerana sumbangannya kepada Malaysia.

Loke berkata, meskipun beliau telah membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, namun ia mencerminkan apa yang disuarakan oleh akar umbi MCA pada tahun 2009.

– M’kini

.