TONY PUA: MINTA KETUA AUDIT NEGARA, PAC KAJI SEMULA 1MDB

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani seharusnya meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad menyiasat semula skandal 1MDB, kata ahli parlimen DAP Tony Pua hari ini.

Ini susulan terdapat bukti baru mengenai ‘penyelesaian’ timbang tara firma pelaburan milik negara itu dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), dan juga maklumat baru yang terkandung di dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika ke atas 1MDB.

“Jika Johari ikhlas mahu berkhidmat kepada negara sebagaimana yang didakwanya dalam surat terbuka Mac lalu, maka saya meminta beliau untuk bersama menggesa Ketua Audit Negara dan PAC menyiasat semula skandal 1MDB berikutan perkembangan terbaru sekarang,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ini adalah peluang terbaik untuk menyiasat ‘penyelesaian’ itu yang menyaksikan negara terpaksa membayar sebanyak AS$7.01 bilion untuk menyelesaikan pinjaman bon AS$3.5 bilion terbitan 1MDB.

“Perlu diingatkan bahawa PAC telah dimaklumkan oleh 1MDB dan CEO Arul Kanda bahawa semua pembayaran yang telah dibayar kepada IPIC akan digunakan untuk mengimbangi bon AS$3.5 bilion MDB yang dijamin oleh IPIC.
“PAC juga tidak pernah membuat sebarang cadangan kepada kementerian kewangan untuk mengambil alih liabiliti bon daripada IPIC – yang menjadi tidak masuk akal,” kata Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata Johari seolah-olah telah lupa bahawa beliau dilantik untuk berkhidmat menjaga kepentingan rakyat, dan bukannya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semata-mata.

– M’kini

.