Tony Fernandes Sedia Jadi Presiden FAM

PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes sedia pertimbangkan untuk menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Jika mereka (FAM) mahu, saya akan pertimbangkan,” jelasnya.

Fernandes, yang juga pemilik kelab bola sepak Inggeris Queens Park Rangers, berkata demikian semasa temu bual bersama Astro Arena pada Majlis Penghargaan Hero-Hero Olimpik Rio di Bangkok pada Jumaat.

Presiden FAM terkini, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bakal meletak jawatannya pada Kongres FAM yang diawalkan dari 2018 ke tahun depan.

Tengku Abdullah memenangi kerusi panas presiden itu pada Kongres FAM 2014 selepas meraih 27 undian dengan menewaskan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengumpul 12 undi ketika itu.

Dalam pada itu, Fernandes menjadi individu pertama meluahkan kesediaan untuk mengambil alih posisi badan induk bola sepak negara ini untuk penggal akan datang.

Sebelum ini, jawatan tersebut dikaitkan dengan Tunku Ismail namun beliau tidak berhasrat untuk menerajui FAM.

Baru-baru ini Tunku Ismail berkongsi formula untuk menyusun semula pengurusan badan kebangsaan itu dan menggariskan rancangannya untuk rombakan FAM.

Menurut Astro Arena, Fernandes menyatakan hasrat untuk lebih melibatkan diri dalam dunia sukan selepas ini.

Jelasnya, beliau begitu kagum dengan  pencapaian luar biasa dua atlet pada temasya Rio, iaitu pelumba trek berbasikal negara Azizulhasni Awang dan perenang Singapura, Joseph Schooling.

“Mereka memberi inspirasi kepada saya untuk mencapai sesuatu yang lebih besar,” katanya.

– Mstar

.