‘TOLAKLAH, RAUS’

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Tan Sri Md Raus Sharif tidak menerima lanjutan perkhidmatan sebagai ketua hakim negara kerana didakwa bercanggah dengan perlembagaan.

Peguam AMANAH Hanipa Maidin berkata Raus seolah-olah melantik dirinya sendiri jika menerimanya.

“Tan Sri Raus kena jalankan tanggungjawab dengan tak terima lantikan.

“Kalau nak lantik, lantik tu betul-betul ikut frame work perlembagaan.

“Kalau perlembagaan pun kamu langgar jadi apa jaminan undang-undang dibawah ini kamu tak langgar,” katanya dalam sidang media di Wisma AMANAH Kuala Lumpur.

Sementara itu, AMANAH juga menggesa Putrajaya mengakui “kesilapan” dengan melanjutkan tempoh perkhidmatan Raus Sharif yang sudah disambung enam bulan selepas cukup umur persaraan 66 tahun.

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Raus akan menyandang jawatan ketua hakim negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurut kenyataan itu, pelantikan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal 1A Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Fasal 1 Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei lalu memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

– M’kini

.