TOLAK BEKAS PEMIMPIN CUBA HANCURKAN UMNO

TEMERLOH – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengajak semua anggota Umno di peringkat akar umbi supaya menolak sesiapa sahaja bekas pemimpin Umno yang mahu menghancurkan parti itu demi menjayakan cita-cita politik mereka.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden Umno berkata, sebaliknya lebih tiga juta ahli Umno perlu bangkit mempertahankan parti baik di peringkat cawangan, bahagian dan pusat serta setia pada pemimpin yang telah dipilih untuk menerajui parti itu.

Dalam ucapan yang penuh berkias ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Temerloh di sini, Ahmad Zahid mengibaratkan Umno sebagai sebuah rumah kaca yang kini sedang cuba dihancur dan dirobohkan oleh ‘bekas tuan rumah lama’.

“Ada yang mencanangkan Umno ini sudah terlalu lama dan Umno ini ibarat rumah kaca yang kacanya sendiri sudah kabur… Memang benar kita telah lama, tetapi tiangnya masih lagi kukuh disebabkan dokongan dan sokongan ahli Umno.
Namun sekarang ini, timbul masalah kerana rumah kaca kita itu dinding dan tingkapnya dibaling dengan batu , dahulunya dari dalam rumah, namun sekarang apabila berada di luar, dia ambil batu yang lebih besar  supaya dinding dan tingkap pecah serta membaling lembing dan tombak untuk merosakkan lantai rumah,” katanya.

Justeru, kata Ahmad Zahid, sebagai anggota parti yang mendiami rumah kaca, mereka seharusnya bangkit mempertahankan ‘rumah’ itu daripada dimusnahkan oleh bekas ‘tuan rumah lama’ yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan tuan rumah baru yang kini diterajui Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dalam suasana inilah kita sebagai sebagai pahlawan dan hulubalang jangan berdiri di belakang, tetapi di sisi kiri dan kanan, di hadapan dan belakang pemimpin dan lawan siapa sahaja yang serang dengan lembing dan tombak.

Itulah yang cuba saya lakukan kini, dalam suasana pemimpin kita (Najib) diserang bertalu-talu dan dibaling dengan najis kita hanya mampu hulurkan simpati… saya tidak sanggup melihat pemimpin saya ini dibaling dengan najis setiap waktu dan dibaling dengan tombak, dihunus dengan keris apabila dekat.

“Sebaliknya saya akan rampas balik tombak dan keris berkenaan dan baling balik pada orang yang terlibat kerana wala’ saya kepada pemimpin dan parti terutama kepada presiden parti,” katanya.

Menurutnya sebagai orang ‘tuan rumah baharu’, Najib telah melakukan pelbagai usaha sebaik mungkin membaik pulih rumah kaca Umno itu dan ia wajar dibantu anggota parti yang lain untuk memastikan rumah itu terus kukuh untuk didiami.

Tanpa menyebut sebarang nama, Ahmad Zahid secara sinis turut menyindir tuan rumah lama kerana menjadikan rumah kaca Umno itu seperti rumah tumpangan apabila selalu keluar masuk parti apabila timbul sesuatu perkara yang tidak disenangi.

“Sebagai bekas tuan rumah, sepatutnya kita sama-sama baiki kalau rumah itu rosak dan kalau ada yang tidak betul, nasihatlah sikit-sikit supaya kekal rasa hormat itu kepadanya, dan bukannya jadi datuk yang rotan cucu bertalu-talu apabila buat silap,“ katanya.

Menurutnya sebagai ahli Umno, beliau sendiri berhadapan dengan pelbagai ujian , namun tetap istiqamah dan setia pada parti yang selama ini banyak membantu menjaga kebajikan orang Melayu di negara ini.

– Bernama

.