TOK HIM: TAKUT TEGUR PAS, NIK ABDUH ‘MACAM WAKIL UMNO’

KUALA LUMPUR – Datuk Ibrahim Ali menggesa ahli parlimen PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz meninggalkan parti itu dan menyertai Umno.

Presiden Perkasa berkata Nik Abduh wajar menyertai Umno kerana dilihat mesra dengan parti Melayu itu dan gagal menegur kelemahan PAS.

“Cara dia bercakap macam dia ini wakil rakyat Umno. Jadi saya cadangkan Nik Abduh keluar PAS dan masuk Umno,” katanya kepada ProjekMMO dalam wawancara.

“Sebab suara dia berbeza jika dibandingkan dengan wakil rakyat PAS yang lain.

“Dia berani bercakap menegur musuh PAS seperti Amanah tetapi dia tidak berani menegur kerajaan pimpinan Umno BN. Puji pula adalah.”

Nik Abduh menewaskan Ibrahim di kerusi tradisinya Pasir Mas, atas tiket Bebas, dengan 8,047 undi dalam pilihan raya umum (PRU) 2013.

Ibrahim, dilaporkan berhasrat bertanding dalam pilihan raya umum nanti, juga menggesa orang ramai memilih calon Bebas kerana mereka lebih berani bersuara

“Kalau rakyat faham, rakyat akan pilih calon Bebas. Mereka yang menang atas nama parti tidak berani menegur parti mereka sejak merdeka lagi.

“Seperti isu pembalakan, kemiskinan dan pengangguran di Kelantan, wakil rakyat PAS dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) menyalahkan kerajaan pusat.

“Mereka tidak berani menyalahkan kerajaan negeri. Jika mereka menegur, mereka tidak akan menjadi calon dan tidak akan memegang jawatan,” katanya.

Nik Abduh, anak allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, baru melepaskan jawatan ketua Pemuda PAS, kini disandang Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Ibrahim mendakwa walau hampir sepenggal anak bekas menteri besar itu menjadi wakil rakyat, namun pengundi tidak berpuas hati dengan khidmatnya di situ.

“Sepanjang dia menjadi wakil rakyat sejak PRU13, saya dimaklumkan ramai rakyat yang merungut, marah dan tidak senang hati.

“Ini kerana beliau jarang masuk ke kawasan, jauh sekali untuk membantu rakyat.

“Kalau pun membantu rakyat seperti melepaskan batuk di tangga, berbeza dengan saya menjaga Pasir Mas seperti langit dengan bumi,” katanya.

Hujung tahun lalu, Ibrahim membayangkan ingin kembali mempertaruhkan nasib sebagi calon Bebas di Pasir Mas pada pilihan raya umum ke-14.

“Saya akan bertanding kembali di Pasir Mas, mungkin juga Rantau Panjang, di Kelantanlah. Tiada ada kena-mengena dengan Perkasa,” katanya.

– M’kini

.