TNB NAFI NEGARA BAKAL BERGELAP 18 DISEMBER INI

SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan satu viral di media sosial yang mendakwa seluruh negara bakal bergelap pada 18 Disember ini.

Pengurus Besar Kanan, Hal Ehwal Korporat & Komunikasi TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin menasihatkan agar pengguna tidak berkongsi maklumat tersebut di media sosial yang lain.

“Saya mengharapkan agar pengguna tidak berkongsi ‘posting’ tersebut kerana ia telah menyebabkan kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, terdapat satu status tersebar di media sosial yang mengatakan bahawa pada tarikh 18 Disember 2016, tiada elektrik akan dibekalkan di seluruh negara dari jam 10 pagi hingga 5 petang terutamanya di kawasan Petaling Jaya dan Subang.

Tambahnya lagi, beliau meminta agar orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini kerja-kerja penyelenggaraan berkala TNB, boleh mendapatkannya di laman web syarikat itu.

“Pengguna boleh melayari laman web kami di https://www.tnb.my/residential/power-alert/ ataupun menghubungi pegawai khidmat pelanggan kami di laman Facebook TNB Careline atau di talian 1-300-885454,” katanya lagi.

– Sinar Harian