TMJ: RAMAI BERANGAN NAK JADI PRESIDEN FAM

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan ada antara anak buahnya sekarang mahu beliau diketepikan daripada jawatan presiden FAM.

Katanya, terdapat individu yang merupakan exco dalam badan induk bola sepak negara itu bercita-cita menjadi presiden.

“Ramai yang dalam FAM berangan nak jadi presiden. Saya cakap terus-terang.

“Ramai juga dalam yang FAM kadang-kadang suruh media tulis macam-macam. Dan berharap saya akan fed-up, ” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi JDT, hari ini.

Tunku Ismail dinobatkan sebagai presiden FAM pada kongres yang berlangsung Mac lalu.

Beliau yang juga pemilik kelab bola sepak JDT berkata, beliau menyedari wujud permainan politik dalam FAM.

Kata Tunku Ismail ada pihak tertentu yang ‘berpolitik’ mahu membawa penaja ke liga Malaysia.

Antara cara pihak terbabit, katanya, ialah mencadangkan sebuah konsortium ditubuhkan sekali gus kewujudan syarikat pengendali liga Malaysia ketika ini – Football Malaysia Limited Liabiliy Partnership (FMLLP) tidak diperlukan lagi.

Bukan parti politik

Bagaimanapun kata Tunku Ismail, beliau tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

“Saya cakap dalam (majlis) FAM sendiri. Saya presiden FAM. Saya tahu ini berlaku, tapi selagi saya berada di FAM jangan haraplah,” tegasnya.

Beliau mendedahkan perkara itu sebagai menjawab pertanyaan wartawan berhubung isu cubaan menyingkirkan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam sebelum ini.

Tambah TMJ, Kevin kini menjalankan tugasnya dengan baik dan berjaya menangani setiap isu berbangkit.

Perubahan, kata Tunku Ismail, mungkin akan berlaku pada masa depan namun buat masa ini khidmat Kevin dan FMLLP kekal.

“Jadi pada saya, dia perlu teruskan tugas itu,” jelasnya.

Sementara itu Tunku Ismail juga mengakui ada beberapa anggota jawatankuasa FAM tidak sependapat dengannya.

Anggota terbabit, kata beliau, mahu orang mereka disertakan dalam perancangan FAM.

“Tapi maaflah, ini bukan parti politik. Ini persatuan bola sepak,” katanya.

– M’kini

.