TMJ KECEWA INDIVIDU ‘TIADA KENA MENGENA’ DAPAT TIKET BOLA

ALOR SETAR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesyaki 6,000 tiket ditempah “orang tertentu” dalam Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Tunku Ismail Sultan Ibrahim kecewa kerana individu yang “tiada kena mengena” dengan bola sepak mendapat tiket melalui “saluran” tertentu.

“Saya harap individu seperti ini tidak perlu berada di persatuan bola sepak. Lebih baik berundur sahaja dan bagi orang-orang yang layak yang mengutamakan penyokong dan dapat menjaga persatuan tersebut dengan tulus,” katanya di Facebook Johor Southern Tigers.

Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula mengesyaki tiket disorok untuk diagih kepada NGO dan parti politik.

“Dan daripada maklumat yang saya dapat Pemuda Umno Kedah sendiri yang dok bedak (edar) tiket,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pula memohon maaf atas kekecohan untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA mengakui penyokong tidak berpuas hati 10,000 tiket habis dijual tidak sampai sejam.

“Ada yang kurang maklum dengan maklumat sebenar kerana menyangka sebanyak 30,000 tiket yang dijual di kaunter tetapi sebaliknya hanya 10,000 tiket sahaja.

“Selebihnya untuk permohonan berkumpulan membabitkan 400 bas, kelab gabungan, pemain, Exco KFA dan penaja,” kata Shaharol Niza Omar seperti dilapor Sinar Harian.

– Malay Mail

.