RAFIZI KATA SHAHRIR MENGELAK JAWAB ISU FELDA

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata Tan Sri Shahrir Samad mengelak daripada menjawab dakwaan dibuatnya mengenai isu syarikat Felda Global Ventures (FGV).

Kata Rafizi pengerusi Felda itu terus menyangkal kenyataan berkenaan walaupun angka yang didedahkannya dibuat berdasarkan laporan rasmi.

“Shahrir juga mendakwa penyahsenaraian FGV dari Bursa Malaysia hanya spekulasi saya walaupun beliaulah yang mendedahkan empat keutamaannya sebagai pengerusi Felda, seperti tersiar di muka depan Berita Harian.

“Satu daripada keutamaan itu ialah menyahsenaraikan Felda,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi sebelum ini menyatakan, langkah mengeluarkan FGV daripada Bursa Malaysia boleh mengakibatkan kerugian sehingga RM7.8 bilion.

Kata anggota parlimen Pandan itu, antara punca kerugian berkenaan ialah keperluan syarikat terbabit membelanjakan RM2.9 bilion untuk membeli balik saham daripada pemegang saham.

Shahrir menafikan dakwaan itu semalam dan menganggap langkah berkenaan bersifat spekulatif, selain berpendapat kiraan Rafizi “bukan betul”.

Kata anggota parlimen Johor Bahru itu, belum ada sebarang keputusan dibuat sama ada FGV akan kekal dalam pasaran saham atau sebaliknya.

Fokus pada masalah peneroka

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata mereka kecewa dengan keputusan Shahrir mempertahankan pembelian syarikat Eagle High Plantation (EHP).

Presiden ANAK, Mazlan Aliman (gambar), berkata Shahrir mengulangi kesilapan pernah dilakukan pengerusi terdahulu, Tan Sri Isa Samad apabila tidak mengendahkan pandangan pelbagai pihak mengenai pembelian ladang itu yang dibuat pada harga tiga kali ganda lebih mahal berbanding pasaran.

“Bukan sahaja pembelian tersebut telah dibatalkan oleh FGV, bahkan Sime Darby dan PNB telah menolaknya lebih awal meskipun ditawarkan harga lebih rendah,” katanya.

Menurut Mazlan, Shahrir sepatutnya memberi perhatian serius kepada usaha membawa perubahan kepada Felda dengan menumpukan persoalan utama yang mengganggu kehidupan peserta tanah rancangan itu, seperti beban hutang hasil tanam semula pokok-pokok pertanian, perumahan generasi baru dan kelewatan peneroka mendapat bayaran.

“Seharusnya, isu penyelenggaraan kebun peneroka dan ladang Felda Plantation yang mempunyai keluasan lebih 850,000 hektar mesti menjadi fokus Shahrir.

“Di sinilah penanda aras kejayaan Felda yang menjadi kebanggaan negara. Ia adalah teras dan nadi pembangunan ekonomi Felda yang membawa perolehan berbilion ringgit setiap tahun,” katanya.

Ekoran keputusan terkini Felda itu, kata Mazlan, ANAK tidak teragak-agak untuk menggerakkan kempen membantah pembelian EHP jika ia diteruskan.

“Cukuplah kegagalan FGV sebagai iktibar. Sebelum penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, segalanya indah belaka. Kini, FGV menjadi malapetaka kepada peneroka,” katanya.
ANAK juga percaya, kata Mazlan, Shahrir tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan termasuk daripada perdana menteri.

Felda baru-baru ini membeli 37 peratus saham EHP di Indonesia. Langkah itu dikritik beberapa pihak termasuk Pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Razak, yang menganggapnya terlalu mahal.

– M’kini

.