TIONG LAI MEMALUKAN KAUM SENDIRI

GEORGETOWN – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai memalukan kaumnya sendiri apabila bersama-sama Umno dan Pas dalam memainkan isu perkauman dalam kempen menjelang PRU14 kelak.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Umno dan rakan baharunya, Pas berjaya menarik Tiong Lai untuk senada dan seirama memainkan isu perkauman yang akan memecahbelahkan rakyat di negara ini.

Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan Tiong Lai yang menyerupai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu amat mengejutkan kerana ia akan mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam Malaysia.

“Saya mengecam Tiong Lai kerana bersama-sama Abdul Hadi yang menuduh bahawa Lim Kit Siang (Penasihat DAP) akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan menang PRU14 nanti.

“DAP tak pernah tuntut pun. Tunjuk bukti jika ada. Yang selalu kata DAP nak jadi perdana menteri adalah Umno dan Pas. Mereka macam berkempen untuk DAP pula. Yang sebenarnya, Umno dan Pas kini memainkan sentimen perkauman dan ekstremis untuk hina kaum Cina dengan menyebut Cina DAP,” katanya kepada media, sebentar tadi.

Semalam, Tiong Lai mendakwa hasrat Kit Siang menjadi perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi PRU14 bakal membawa kehancuran kepada negara.

Tiong Lai berkata pemimpin DAP itu bukan saja tidak boleh dipercayai, malah tiada prinsip kerana lebih mengutamakan agenda peribadi dan mengejar kuasa.

– Sinar Harian

.