TIONG KING SING TARIK BALIK SAMAN FITNAH TERHADAP ONG TEE KEAT

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing hari ini menarik balik saman fitnah terhadap bekas presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat. Saman itu adalah berhubung artikel disiarkan dalam akhbar New Sraits Times (NST) pada 6 September 2009 bertajuk ‘Chua dan Tiong in cahoots’.

Peguam Chan Tse Yuen yang mewakili Tee Keat ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah sepatutnya memberikan keputusan kes saman itu esok. Beliau berkata, Hakim Datuk Lau Bee Lan sehubungan itu membatalkan saman berkenaan dan memerintahkan King Sing membayar kos sebanyak RM40,000.

Katanya, plaintif (King Sing) menarik balik tuntutan saman itu dengan alasan selepas meneliti keterangan wartawan yang menulis artikel berkenaan, didapati wartawan terbabit tidak pernah menemubual Tee Keat.

King Sing memfailkan saman itu pada 12 Oktober 2009 dengan menamakan New Straits Times Press (M) Berhad, bekas Pengarang Kumpulan NST, Datuk Syed Nadzri Syed Harun, wartawan NST, Joseph Sipalan (kini di Reuters) dan Tee Keat sebagai defendan. Bagaimanapun, plaintif kemudian menarik balik tuntutannya terhadap NSTP, Syed Nadzri dan Sipalan. Kes saman itu adalah berhubung dakwaan King Sing bahawa Tee Keat berkonspirasi untuk menjatuhkannya.

– Sinar Harian

.