TINGGALKAN HARAPAN, PEMBANGKANG KIAN KUAT

Untuk memastikan kekuatan pembangkang kukuh menghadapi BN pada pilihan raya umum akan datang, PAS mempunyai ‘formula’ tersendiri.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kekuatan gabungan pembangkang akan meningkat sekali ganda jika PKR dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) meninggalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) serta menyertai blok ketiga yang dianggotai partinya.

Kata Mohd Amar, sekiranya perkara itu berlaku, peluang untuk menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan lebih terbuka, lapor Sinar Harian.

“Jika dua parti itu bersama dalam blok ketiga (Gagasan Sejahtera) yang diterokai PAS ketika ini, kekuatan pembangkang akan meningkat berkali ganda berbanding Pakatan Harapan.

“Saya lebih suka mana-mana pembangkang kecuali DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk lebih serius jalin kerjasama dalam Gagasan Sejahtera yang turut disertai IKATAN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti kecil lain,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Ketika ditanya mengenai kerjasama antara PAS dan BERSATU selepas mengadakan pertemuan, Mohd Amar berkata sehingga kini masih belum ada keputusan dibuat antara kedua parti itu.

“Kita belum buat keputusan rasmi. Pertemuan sebelum ini lebih kepada perbincangan bagi memberikan pandangan dan cadangan, jadi keputusan sama ada kerjasama atau tidak ia akan dinilai oleh PAS Pusat kemudian (dibawa ke) majlis syura ulama.

“Memang semua orang akan suka jika ada kerjasama, tetapi kita ada penilaian sendiri tidak boleh ikut orang sebab kalau ikut, ada yang suruh PAS masuk Pakatan Harapan dan berbaik dengan DAP. Tetapi kita ada pendirian,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

– M’kini

.