‘TINDAKAN TUN M KRITIK MELAKA GATEWAY TAK MASUK AKAL’

BANDARAYA MELAKA – Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir mengkritik projek Melaka Gateway sebagai tidak masuk akal.

Ini kerana, katanya, projek berkenaan selari dengan hasrat pentadbiran Mahathir semasa menjadi perdana menteri yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Menurutnya, tindakan Mahathir mengkritik projek berkenaan seolah-olah mengkritik kembali apa yang pernah digariskannya sebelum ini.

“Projek pembangunan pelabuhan Melaka ini telah dirancang berdekad sebelum ini. Cuma bezanya kali ini kita melihat jumlah pelaburan yang besar dari China hasil konsep one belt one road,” katanya.
Menurutnya, walaupun menyedari projek itu akan dikritik hebat, namun beliau tidak menjangka ia dikritik seorang yang sebelum ini pernah bertanggungjawab mempelopori Dasar Pandang Ke Timur serta Wawasan 2020.

“Tambahan pula, ini merupakan peluang terbaik untuk Melaka mencapai status negeri maju fasa kedua. Kita tidak sepatutnya ketinggalan dalam peluang ini,” katanya sebagai mengulas laporan sebuah laman berita web berhubung Mahathir mengkritik projek Melaka Gateway yang disifatkan sebagai satu lagi petanda kerajaan persekutuan menyerahkan kedaulatan negara kepada China demi manfaat politik jangka pendek.

Memetik laporan The South China Morning Post, laman web itu melaporkan Mahathir sebagai berkata, Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengharapkan sokongan politik daripada peningkatan pelaburan langsung asing melalui projek itu.

Sementara itu, Idris berkata, berdasarkan kajian di beberapa negara maju termasuk di Jepun dan Scandinavia, Melaka didapati perlu mempunyai pelabuhan pelbagai guna seperti negara terbabit sekiranya ingin menjadi sebuah negeri maju.

Menurutnya, kedudukan Melaka yang strategik turut menjadikan ia sebagai pintu masuk sesuai untuk perdagangan dari China ke negara Asean.

“Perdagangan China dengan negara Asean dijangka mencecah US$100 trilion dalam masa lima tahun. Dengan kedudukan strategik, kita boleh menggunakan peluang ini lebih-lebih lagi kerana pelabuhan lain termasuk di Singapura, kini mengalami masalah kesesakan.

“Ini merupakan satu strategi ekonomi yang kita tidak boleh ketinggalan. Mungkin ini satu fakta yang Tun Mahathir tidak sedar,” katanya.

– SH