TINDAKAN PAS TOLAK DAP, AMANAH JEJAS PEMBANGKANG

KOTA BHARU – Tindakan Pas yang berterusan menolak pelawaan DAP dan Amanah untuk bekerjasama dalam PRU14 nanti memungkinkan kerjasama parti itu dengan pembangkang lain juga akan terkubur.

Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar berkata, Pas tidak mungkin boleh bekerjasama dengan parti pembangkang lain tanpa parti ini kerana kedua-duanya berada dalam Pakatan Harapan bersama PKR.

“Saya melihat hubungan antara Pas dengan DAP dan Amanah, agak mustahil untuk dipulihkan, sama ada oleh PKR serta Bersatu. Ini kerana mereka sudah melabelkan antara satu sama lain dengan istilah yang agak sukar digambarkan.

“Begitu juga dengan perasaan dendam dan tidak puas hati yang menebal dalam diri pemimpin masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Rusdi berkata demikian ketika mengulas perkembangan usaha DAP untuk kembali berbaik dengan Pas yang disuarakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang parti itu beberapa hari lalu.

Menurutnya, tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak mentah-mentah pelawaan Kit Siang untuk berdamai dan menjalin semula kerjasama dengan parti itu atas alasan DAP adalah parti yang chauvinis dan anti Islam.

“Sedangkan, jika mereka serius untuk menumbangkan BN pada PRU14, kedua-dua pemimpin ini perlu berbincang dan ketepikan isu-isu berbangkit sebelum ini. Jangan putuskan sesuatu sebelum berbincang kerana menggambarkan kita tidak matang berpolitik,” katanya.

Mengulas lanjut, Rusdi yang juga Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pemimpin pembangkang perlu ‘cermin diri’ sebelum menempelak satu sama lain.

“Mereka juga perlu korbankan agenda peribadi dan parti terlebih dahulu serta mencari agenda kebersamaan dalam perjuangan, selain memerlukan semangat berpolitik yang tinggi untuk bersama jika benar-benar ingin menumbangkan BN,” katanya.

Rusdi berkata, sekiranya perkara ini boleh dilakukan, beliau yakin mereka dapat bekerjasama dan memberi saingan hebat kepada BN pada PRU14 nanti, bagaimanapun jika sebaliknya, peluang untuk parti lawan menang adalah lebih cerah.

“Mereka perlu ketepikan sebarang perbezaan agenda dan melihat kepada kebersamaan barulah mereka boleh bekerjasama. Nak pertahankan dasar tak ada masalah, tapi kena tengok pada keutamaan,” katanya.

– Sinar Harian

.