TINDAKAN KERAS TERHADAP GOLONGAN ATEIS UNTUK ALIH PERHATIAN, KATA LAPORAN

AHLI akademik percaya tindakan keras terhadap ateisme di Malaysia bertujuan membangkitkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN), lapor The South China Morning Post hari ini.

Ia memetik kenyataan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik yang menggambarkan tindakan terhadap golongan ateis hanya untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada masalah harian sebenar.

“Aktiviti seperti ini dirancang dengan baik untuk disensasikan sebelum pilihan raya. BN akan membangkitkan sentimen agama dan kaum, dan malangnya para pemuda ini tidak memahami keadaan ini. BN hanya memerlukan lebih banyak isu kontroversi agar mereka dapat membuktikan kepada majoriti orang Melayu luar bandar dan konservatif yang ia pembela Islam sebenar,” katanya.

Dilaporkan sebelum ini pihak berkuasa menyiasat golongan ateisme di Malaysia selepas kumpulan Atheist Republic, sebuah organisasi berpangkalan di Kanada pada minggu lalu menyiarkan gambar perhimpunan mereka termasuk orang Melayu.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata ia akan mengambil tindakan jika benar  umat Islam menghadiri acara tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim menggesa Jawi dan pihak berkuasa agama lain memburu mereka “untuk memulihkan keimanan mereka”.

Maszlee berkata “isu besar” seterusnya yang akan dibangkitkan Putrajaya adalah “hak LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender), Kristian dan kemudian liberalisme” – selagi kumpulan ini bersuara atau bersikap provokatif – semuanya akan mempengaruhi orang ramai daripada Isu sebenar seperti skandal rasuah 1Malaysia Development Bhd (1MDB), GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kleptokrasi, ‘Chinasiation’ ekonomi, rasuah dan sebagainya”.

Dr Ahmad Farouk Mousa, pengarah Islamic Renaissance Front, berkata tindakan keras dan langkah lain seperti tidak meluluskan undang-undang bagi tujuan menamatkan masalah penukaran agama anak secara sepihak bertujuan menenangkan orang Islam konservatif.

“Kumpulan ini adalah penyelamat kepada gabungan pemerintah sekarang dalam menghadapi rasuah besar-besaran. Bagi kerajaan – ia tidak mempunyai sebarang legitimasi untuk campur tangan kerana apa yang dilakukan anak-anak muda ini bukanlah ancaman kepada hak rakyat yang lain.”

Pastor Luther, Dr Sivin Kit yang merupakan pengarah pusat agama dan masyarakat, berkata Shahidan bersikap berlebihan jika dibandingkan kenyataan beberapa muftis negeri.

“Kita harus lebih kritis terhadap reaksi mereka (politisi) yang menentang golongan muda dalam gambar. Saya sebenarnya sangat khuatir mengapa pemimpin politik begitu teruja dengan ini.”

Laporan SCMP juga memetik seorang peserta perhimpunan yang berkata ia hanya pertemuan biasa dia antara mereka dan reaksi kerajaan tidak bertepatan dengan situasi.

“Ada yang memilih untuk membincangkan topik mengenai agama, dan kadang-kala mengenai isu hak asasi. Tetapi sejujurnya, sebahagian besar daripada kami hanya mahu bercakap tentang episod Game of Thrones terkini. Kerajaan berlebihan, tetapi saya tidak terkejut. Idea mengenai kemajuan sosial, cabaran dogma agama kuno itu selalu dilihat sebagai ancaman,” kata seseorang yang dikenali sebagai Arrawdah.

Profesor undang-undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom berkata ateis bukan satu-satunya kumpulan yang dianiaya, kerana pihak berkuasa Islam turut mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan yang mencabar penguasaan mereka terhadap agama.

“Pihak berkuasa cenderung menyerang umat Islam yang tidak mengikut pemikiran mereka. Ini termasuk Ahmadiyah dan Syiah. Ia ingin menegaskan hanya ada satu pemikiran Islam di Malaysia yang kini menjadi sebahagian daripada landskap umum selama bertahun-tahun.”

Pengasas Atheist Republic Armin Navabi berkata kerajaan Malaysia perlu berfikir panjang sebelum menjatuhkan hukuman kepada mereka hanya kerana menghadiri pertemuan.

“Adakah kerajaan Malaysia benar-benar mahukan imej mereka dipandang sama seperti seperti Arab Saudi? Melayan mereka ini seperti penjenayah, orang yang tidak pernah mengancam sesiapa?”

– https://www.themalaysianinsight.com/

.