TINDAKAN HUSNI DIANGGAP PELIK – UMNO TAMBUN

IPOH  – UMNO Tambun menyifatkan tindakan ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mempertikaikan beberapa keputusan kerajaan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat sebagai pelik.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berkata, tindakan bekas Menteri Kewangan II itu juga bukan suara UMNO Tambun.

Menurut beliau, ia merupakan pandangan peribadi Ahmad Husni sendiri yang mungkin berpendirian bahawa beliau juga mempunyai pendapatnya sendiri mengenai 1MDB.

“Ahli-ahli UMNO Tambun terkejut dan tidak sangka Ahmad Husni mempertikaikan 1MDB di Parlimen. Ia satu tindakan yang pelik dan janggal.

“Ini kerana sejak dipertanggungjawabkan menjaga 1MDB sejak tahun 2014, beliau sentiasa bercakap positif mengenai 1MDB. Beliau sering kali menegaskan 1MDB satu entiti perniagaan yang walaupun ada masalah tapi ada jalan penyelesaian dan ia merupakan pelan rasionalisasi.

“Tapi tiba-tiba beliau mempertikaikan 1MDB di Parlimen sedangkan 1MDB di bawah portfolio beliau dahulu. Ini pelik dan ahli UMNO keliru kerana selama ini kami diyakinkan oleh beliau mengenai 1MDB,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, ekoran isu tersebut, UMNO bahagian itu mengadakan mesyuarat khas di sini semalam membincangkan perkara tersebut.

Beliau berkata, dalam mesyuarat tersebut tiada desakan supaya tindakan dikenakan terhadap Ahmad Husni ekoran kenyataannya di Parlimen.

Kata beliau, ini kerana Ahmad Husni merupakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan masih ahli UMNO.

“Rumusan daripada mesyuarat semalam, kami mengambil pendirian tunggu dan lihat dalam isu kenyataan Ahmad Husni di Parlimen.

“Kami menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti dalam isu ini,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Ahmad Husni yang mempersoal keputusan kerajaan mengenai 1MDB ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

UTUSAN

.