Tindakan Dr. Mahathir serah 
deklarasi langkah terdesak

KUALA LUMPUR  – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan Dek­larasi Pembangkang kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah me­rupakan langkah terdesak untuk menjaga air mukanya dalam kalangan penyokong beliau.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, hal itu kerana Dr. Mahathir tiada pilihan selain perlu segera menyerahkan deklarasi ter­se­but kepada Seri Paduka.

“Jika Dr. Mahathir tidak menyerahkan deklarasi itu maka air muka beliau akan jatuh dan oleh sebab itu pada akhirnya beliau perlu menyerahkannya juga kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Maha­thir dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Alor Setar untuk menyerahkan Deklarasi Pembangkang.

Ini jelas membuktikan dakwaan Dr. Mahathir sebelum ini bahawa Seri Paduka disekat daripada berjumpa beliau adalah tidak benar sama sekali.

Pada bulan Mei lalu, Dr. Mahathir dalam ucapannya mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyekat beliau daripada menyerahkan Deklarasi Pembangkang kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Salleh turut menyifatkan penyerahan dekla­rasi tersebut sebagai tindakan politik yang tidak memberi sebarang kesan kepada kerajaan.

“Itu merupakan langkah politik yang hanya bertujuan menunjukkan perjuangan tersebut terus berlaku, namun semua itu seperti satu persembahan. Selain daripada itu, tiada apa-apa yang akan berlaku,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan tindakan terbaharu Dr. Mahathir itu hanya untuk mensensasikan usaha beliau memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Beliau turut mendakwa bahawa tindakan itu merupakan langkah untuk mengheret dan memperalat institusi raja ke kancah politik.

“Ini bercanggah de­ngan amalan demokrasi kerana kerajaan yang ada dipilih melalui proses pi­lihan raya yang demokratik. Ini menunjukkan bahawa Dr. Mahathir dan pakatannya tidak berani berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta mahu me­num­bangkan kerajaan sedia ada lebih awal sebelum pilihan raya.

“Tindakan tersebut juga bercanggah dengan rasional penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang didakwa oleh Dr. Mahathir serta Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sambutan luar biasa serta mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14, tetapi kenapa menggunakan pintu belakang untuk memaksa Perdana Menteri meletak jawatan, seterusnya me­numbangkan BN?” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan Dr. Mahathir menyerahkan Dek­larasi Pembangkang kepada Yang di-Pertuan Agong, membuktikan tuduhan beliau sebelum ini bahawa Seri Paduka `disekat’ daripada berjumpa beliau merupakan pembohongan semata-mata.

“Dr. Mahathir juga terpaksa menerima pendirian Seri Paduka yang akan sentiasa bertindak mengikut Perlembagaan negara yang mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan, prinsip yang ditekankan sendiri oleh Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

“Strategi yang cuba beliau lakukan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib tidak menjejaskan langsung kedudukan Perdana Menteri kerana sudah dapat dibaca lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.
– UTUSAN

.