TIMB MENTERI ‘TAK TAHU’ PENGLIBATAN BUKAN MUSLIM DALAM IMAMS

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin hari ini berkata beliau tidak tahu apa-apa tentang penglibatan bukan Bumiputera dalam syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).

Mas Ermieyati berkata demikian selepas sistem yang diperkenalkan kementerian itu mendapat aduan pelbagai pihak dan dibatalkan hari ini selepas diumumkan semalam.

“Malah sehari sebelum pitching (pembentangan) saya tanya lagi pegawai saya, ada tak (melibatkan) bukan Bumiputera dan sebagainya?

“Daripada maklumat yang saya terima, tak ada,” kata Mas Ermiyati dalam sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur petang tadi.

Sidang media itu diadakan beberapa jam selepas Kementerian Pelancongan mengumumkan pembatalan IMAMS.

Mas Ermieyati yang kelihatan sebak juga berkata hanya beberapa jam selepas sidang medianya semalam beliau dimaklumkan berkenaan salah seorang pegawai eksekutif atasan adalah bukan Muslim.

Sidang media semalam diadakan untuk mengumumkan pelaksanaan sistem itu yang dikatakan bertujuan membanteras penipuan pakej umrah.

Penglibatan bukan Muslim

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan media hari ini mempersoalkan penglibatan ketua pegawai operasi bukan Muslim dalam syarikat Imams Sdn Bhd.

Merujuk rekod syarikat itu, beliau turut mempersoalkan tiga setiausaha Cina yang terlibat.

Salah seorang setiausaha itu adalah Ketua Pemuda MCA Kuantan Lee Chai Wah yang mengesahkan hal ini ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Lee berkata kedudukannya sebagai setiausaha di syarikat itu hanya untuk membantu memproses dokumen berkaitan Akta Syarikat 2016.

“Mana-mana syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia perlu memasukkan nama setiausaha. Setiausaha hanya bertanggungjawab memproses dokumen syarikat yang berkaitan dengan Akta Syarikat.

“Dokumen lain seperti dokumen kewangan atau dokumen pentadbiran, kita tidak masuk campur,” kata Lee yang juga merupakan seorang akauntan.

IMAMS sebelum ini diwajibkan dalam proses permohonan visa umrah dan akan dikenakan ke atas kesemua 65 agensi pelancongan yang menguruskan umrah di Malaysia.

– M’kini

.