TIMB MENTERI: DR M SALAH KATA GRADUAN TERPAKSA JUAL NASI LEMAK

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kesukaran graduan mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka sebagai satu kesilapan.

Beliau berkata, tiada salahnya untuk golongan itu berbuat demikian demi menambah pendapatan.

“Hari ini kita tahu ramai yang nak tambah pendapatan sampingan. Ada pilihan daripada nak bawa teksi dan sebagainya…Saya tengok ramai wanita yang menjadi pemandu Grab dan Uber.

“Satu tindakan yang tidak bijak oleh Mahathir. (Kenyataannya) memang salah dan silap besarlah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Sahabat Puteri BN atau Azalea 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mahathir tentang golongan graduan yang melakukan pelbagai kerajaan seperti menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber ekoran kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan.

Mahathir berkata, golongan itu bukannya melanjutkan pelajaran di universiti untuk menjadi penjual nasi lemak atau pemandu.

“Sebaliknya mereka yang terlatih dengan kepakaran tinggi ini patut bekerja dengan menggunakan kebolehan dan ilmu yang mereka perolehi.

“Kita sedar oleh kerana ekonomi tak baik, peluang pekerjaan kurang, maka lepasan universiti terpaksa menjual nasi lemak,” katanya pada program Policy Talk, 17 Januari lalu.

Mas Ermieyati yang juga ketua Puteri Umno itu bagaimanapun tidak mengulas secara langsung berhubung soal kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan seperti yang didakwa Mahathir.

Menurut Laporan Bank Dunia 2016, kadar pengangguran golongan belia di Malaysia adalah 10.7 peratus pada 2015.

Bagi belia yang mempunyai pendidikan tinggi, kadar pengangguran adalah 15.3 peratus manakala golongan tidak berpendidikan tinggi pada kadar 9.8 peratus, kata laporan itu lagi.

– M’kini

.