TIGA PENJURU: PAS TIDAK GENTAR

MACHANG – Pas tidak gentar sekiranya parti itu terpaksa berdepan pertembungan tiga penjuru termasuk daripada Amanah bagi 45 kerusi Dun Kelantan dalam PRU14 nanti.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pihaknya tidak pernah ada halangan bagi mana-mana parti bertanding pada pilihanraya.

Tegasnya, pihaknya tidak pernah gentar malah bersedia menghadapi Amanah di kesemua 45 kerusi Dun di negeri ini.

“Kita tiada masalah, kalau Amanah nak lawan di semua kerusi Dun pun kita tak gentar. Sebagai sebuah negara demokrasi, semua parti berhak bertanding.

“Kita tak akan mengalah, lawan tetap lawan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah sumbangan kepada johan qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2016, di Kampung Sungai Mas, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Ahmad menyampaikan sumbangan kepada Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang berjaya merangkul gelaran johan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-58.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail,

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Amanah Kelantan dijangka meletakkan sekurang-kurangnya 30 daripada 45 calon kerusi Dun Kelantan dalam PRU14 nanti, sekali gus mendominasi pembahagian kerusi Pakatan Harapan di Kelantan.

Parti serpihan Pas itu juga dikatakan bakal menyasarkan 32 kerusi yang dimenangi Pas pada PRU lalu, sekali gus menyaksikan bakal berlakunya ‘pecah undi’ dalam persaingan tiga penjuru nanti.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan, parti itu berhasrat meletakkan calonnya di kawasan yang dimenangi Pas pada PRU lalu.

Ketika ditanya adakah tindakan itu akan membuka peluang kepada Umno Kelantan untuk menawan Kelantan, bekas speaker Kerajaan Kelantan itu berkata peluang untuk ketiga-tiga parti terbuka luas.

“Setakat ini, kita belum lagi menyenaraikan nama calon, kita tunggu pembahagian kerusi selesai terlebih dahulu,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my

.