TIGA PENJURU ATAU GUNA LOGO SENDIRI, PELUANG TETAP MEMIHAK PAKATAN HARAPAN

Kata orang, untuk menang dan mencapai kejayaan, rintangan dan halangan memang selalu mendatang dan tidak dapat dielakkan.

Ia adalah lumrah, tetapi sebenarnya itulah kunci kejayaan dan menguatkan lagi semangat untuk terus berjuang.

Dalam hal ini, Pakatan Harapan juga tidak terkecuali. Satu demi cabaran yang datang, namun sehingga ini ia tidak menghalang usaha gabungan itu untuk menuju kejayaan menumbangkan UMNO, BN dan seterusnya menyelamatkan negara ini daripada kerosakan yang berpanjangan yang diakibatkan oleh Najib Razak.

Meskipun jika melalui pertandingan satu lawan satu, Najib sudah lama lari malam, namun dengan pelbagai sumber, termasuk kuasa wang tanpa had yang dimilikinya, beliau akhirnya berjaya melunakkan hati Hadi Awang dan Pas untuk menjauhi Pakatan Harapan.

Berdasarkan pelbagai petunjuk dan kecenderungan Hadi dan Pas sekarang, pertandingan tiga penjuru memang tidak dapat dielakkan.

Tetapi, berdasarkan perkembangan terkini, perlawanan tiga penjuru pun tidak banyak menjejaskan peluang Pakatan Harapan. Kuncinya ialah rakyat secara majoritinya sudah terlalu bosan dan meluat dengan Najib, UMNO dan BN.

Pelbagai tindak-tanduk dan skandal yang melingkari Najib membuatkan rakyat semakin sukar untuk terus memilihnya mentadbir negara ini.

Jika sehingga pilihanraya akan datang pun sudah ramai yang tidak sanggup berketuakannya, apatah lagi untuk tempoh lima tahun seterusnya.

Rakyat mahu mengakhiri eranya bersama UMNO dan BN daripada terus berkuasa kerana tidak sanggup lagi menanggung derita disamping lakonannya yang menyakitkan hati rakyat seolah-olah beliaulah yang terbaik mentadbir negara ini.

Untuk itu, tiga penjuru tidak akan mampu menyelamatkan Najib, malah Pas yang mahu jadi penyelamat itu pun akan dihanyutkan sekali oleh kuasa perubahan yang sentiasa membuak-buak di dada rakyat.

Selepas Najib berjaya melunakkan Pas untuk menjadikan pertandingan tiga penjuru dan langkah itu pula dilihat tidak lagi berkesan, kini urusan pendaftaran Pakatan Harapan adalah sasaran seterusnya.

Najib tahu jika Pakatan Harapan berjaya bertanding menggunakan satu logo untuk menyaingi BN dalam PRU 14 nanti, peluangnya untuk kekal berkuasa adalah semakin tipis.

Beliau juga tahu Tun Mahathir Mohamad adalah perancang terbaik dari segi strategi politik. Selain wibawa dan pengaruhnya, lihat bagaimana Tun Mahathir akhirnya berjaya membawa Pakatan Harapan mencapai persetujuan berkenaan pembahagian kerusi dan calon Perdana Menteri, sedangkan selama ini parti-parti pembangkang tidak pernah mencapai persetujuan muktamad dalam hal itu.

Dengan kejayaan itu, ditambah jika bertanding hanya menggunakan satu logo, sudah pastilah peluang Pakatan Harapan bertambah cerah jadinya.

Menghalang kelulusan pendaftaran Pakatan Harapan dan setiap parti – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu – akhirnya akan bertanding menggunakan logo masing-masing, Najib barangkali merasakan rakyat boleh terus dikelirukan serta dalam masa yang sama ditakut-takutkan dengan sentiman perkauman yang sengaja disempit-sempitkan.

Mungkin ada yang terus keliru dan mudah dikelirukan seolah-olah semua parti itu tidak bersatu jika masing-masing menggunakan logo sendiri, tetapi semua itu hanya akan memberi impak yang kecil saja.

Isunya sekarang bukan berkaitan tiga penjuru, menggunakan logo sendiri atau apa sekali pun, sebaliknya isu sebenar PRU 14 ialah Najib.

Selagi Najib ada, selagi itulah penolakan rakyat terus akan berlaku. Punca segala masalah dalam negara kita ialah Najib yang daripadanya itu muncul segala macam bala bencana lain seperti Jho Low, Rosmah Mansor, Riza Aziz, 1MDB, GST, penarikan subsidi, peningkatan kos sara hidup dan macam-macam lagi.

Kiranya dengan melembutkan hati Pas dan menjadikan pertandingan tiga penjuru sebelum ini gagal menjamin menjamin keselesaan mencapai kemenangan, menghalang penggunaan satu logo juga tidak akan memberi impak apa-apa.

Percayalah!!!

Rakyat hanya ingin menolak Najib, UMNO dan BN dan biar bagaimana keadaannya, penolakan itu tetap akan berlaku.

Banyak logo tidak akan menjadikan rakyat tiba-tiba mahu mengundi BN dan merelakan Najib berkuasa lagi untuk tempoh lebih lama.

Untuk fasa selepas PRU 14, keyakinan dan pilihan rakyat ialah Tun Mahathir. Masa untuk Najib sudah tamat.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.ae

.