TIGA ‘KERUSI KELABU’: RAKYAT TIDAK MAHU BN

KOTA BHARU – Umno Kelantan diminta tidak menanam impian untuk menawan Parlimen ‘kelabu’ kerana rakyat tidak berkehendakkan ahli Parlimen Umno di tiga kerusi tersebut, kata Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nor Azariza Mohd Alawi.

Menurutnya, Umno kini bagaikan sudah hilang keyakinan kerana sebelum ini parti itu mengimpikan negeri Kelantan sebagai fokus utama, tetapi kini hanya mahukan kerusi parlimen sahaja.

“Rasanya lebih baik Datuk Seri Mustapha Mohamed lupakan sahaja fokus itu. Ini kerana kita lihat ahli Parlimen Pas memainkan peranan yang amat baik, terutamanya dalam Dewan Rakyat semasa berbahas.

“Ahmad Marzuk Shaary dari Bachok dan Dr Nik Mazian Mohamad sentiasa mengambil peluang berbahas dalam Parlimen, jauh terkehadapan berbanding dengan ahli Parlimen daripada Umno.

“Manakala Kuala Krai pula, walaupun ahli Parlimen yang asal melompat ke Parti Amanah, jangan ingat ia adalah laluan mudah untuk Umno menang di Kuala Krai. Pas mempunyai ramai tokoh-tokoh yang berkaliber di kawasan itu,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyatakan Umno Kelantan akan memberi tumpuan kepada tiga Parlimen ‘kelabu’ iaitu Pasir Putih, Kuala Krai dan Bachok sebagai persediaan menghadapi PRU14.

Azariza juga memberitahu, dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa Pas kini, namun kerajaan pusat tetap meneruskan projek kemajuan untuk rakyat di negeri ini.

Beliau juga memberitahu, Pas juga mempunyai strategi tersendiri dan tidak mudah melatah dalam memastikan kerusi-kerusi yang ada kini tidak tergugat oleh mana-mana pihak lawan.

“Jadi apa keperluan kita tukar kerajaan atau keperluan kepada ahli Parlimen Umno untuk berada di kerusi kita (Pas) kalau kita memerintah tapi projek kerajaan pusat tetap sampai ke Kelantan.

“Rakyat lebih bijak menilai dan lebih berpandangan jauh,” katanya.

– Sinar Harian

.