TIDAK TERIMA PELANTIKAN KETUA AMK BAHARU

KOTA BHARU – Majlis Pimpinan PKR Kelantan tidak mengiktiraf pelantikan Mohd Khairul Amin Ab Rahman sebagai Ketua Angkatan Muda (AMK) negeri baharu menggantikan Dr Mohd Hafidz Rezal Amran.

Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir berkata, hal ini kerana pelantikan baharu menggantikan Dr Mohd Hafidz Rezal itu jelas tidak dibuat mengikut proses wajar dan tidak demokratik.

Menurutnya, mengikut perkara 14.4 Peraturan Tetap AMK Malaysia,  jelas menyebut pelantikan ketua AMK negeri hendaklah dirunding bersama ketua-ketua AMK cabang dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini tidak mengiktiraf pelantikan ketua AMK Kelantan yang baharu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pergolakan dalaman PKR semakin panas apabila Dr Mohd Hafidz Rezal dipecat sebagai Ketua AMK Kelantan dua hari lalu yang didakwa beliau cenderung bekerjasama dengan Pas.

Bagaimanapun Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikannya sebaliknya menjelaskan keputusan tersebut dibuat sebagai memenuhi permintaan ahli parti di negeri itu selepas berbincang minggu lalu.

Dalam masa sama, Ab Aziz meluahkan rasa terkejut dan kesal dengan pemecatan Dr Mohd Hafidz Resal berkenaan dan beliau turut mempertikaikan proses pelantikan baharu dilakukan Nik Nazmi.

“Saya dengan ini selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Kelantan, melantik Dr Mohd Hafidz Rezal selaku koordinator untuk sayap AMK Kelantan dan menggesa semua AMK cabang memberikan kerjasama.

“Bekerjasama sebagai satu pasukan memperkukuhkan parti di negeri ini bagi melancarkan dan memudah cara segala urusan bagi persiapan parti di Kelantan menghadapi pilihan raya umum nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Amin dalam satu kenyataan memberitahu beliau menerima pelantikan tersebut dan berikrar akan terus memperkasakan  AMK Kelantan  serta memperkukuhkan  hubungan dalam Pemuda Pakatan Harapan negeri ini.

“Saya juga menyambut baik keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menegaskan bahawa tiada sebarang hubungan politik dengan Pas di peringkat pusat mahupun negeri Kelantan.

“Saya menyeru seluruh ahli dan anggota AMK Kelantan untuk melupakan segala persengketaan dan kembali menguatkan kesatuan sesama kita dan seterusnya berkhidmat dengan bersemangat  demi kepentingan parti dan Pakatan Harapan,” katanya.

– Sinar Harian

.