TIDAK, ‘PU YAO’ DAN ‘MUDIATHU’, KATA LIM KEPADA KU NAN

Kerajaan negeri Pulau Pinang melahirkan bantahan keras terhadap cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor untuk menjadikan negeri itu sebagai sebahagian daripada wilayah persekutuan.

Katanya, cadangan itu mengancam keutuhan persekutuan Malaysia.

“Kita tidak akan melepaskan negeri ini. Ini tidak boleh diterima.

“Kita akan beritahu Adnan ‘tidak, pu yao dan mudiathu’”, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dipetik portal Free Malaysia Today di Komtar, Georgetown hari ini.

‘Pu yao’ adalah tidak dalam bahasa Mandarin manakala ‘mudiathu’ pula adalah dalam bahasa Tamil.

Lim mengulas kenyataan Tengku Adnan yang berhasrat menjadikan Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian dari Melaka sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan selain Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Semalam, Tengku Adnan semasa diwawancara stesen radio BFM sempena Hari Wilayah Persekutuan berkata beliau berharap konsep wilayah persekutuan boleh ‘dikembangkan’ kepada wilayah atau negeri lain.

“Saya ingin mengembangkan Wilayah Persekutuan. Jika boleh, saya mahu ambil Langkawi, Pulau Pinang, dan bahagian tertentu Melaka,” katanya dalam bahasa Inggeris dalam temu bual itu.

Mengulas lanjut, Lim menyindir Tengku Adnan sebagai “penakluk” kerana tidak peduli untuk membincangkan cadangannya dengan negeri-negeri terlibat sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan secara terbuka.

“Ini adalah pelik dan sumbang. Jangan cubalah. Penduduk Pulau Pinang tak akan gembira menjadi negeri yang pupus. Ini boleh dianggap menghasut.

“Kamu mengancam keutuhan kedaulatan Pulau Pinang.

“Saya tidak mahu menjadi ketua menteri terakhir Pulau Pinang. Akan ada ketua menteri lain selepas saya. Saya tidak mahu menjadi pembelot dan pengkhianat,” kata Lim.

Selangor kehilangan Kuala Lumpur yang menjadi ibu negerinya sehingga 1974 apabila kawasan itu dijadikan ibu negara.

Bagaimanapun, pusat pentadbiran itu kemudian dipindahkan ke Putrajaya, satu lagi kawasan milik Selangor.

Sabah pula menyerahkan Labuan kepada pusat pada tahun 1984 untuk dijadikan pusat kewangan luar pesisir.

– M’kini

.