TIDAK PERNAH MENCABAR SESIAPA TAK BERERTI NAJIB TIDAK BOLEH DILAWAN ATAU DIJATUHKAN

Najib Razak nampaknya merepek lagi.

Jika semalam beliau merepek mengenai jualan sate dan kaitannya dengan MRT, kali ini beliau meneruskan lagi  tabiat itu dengan mengungkit sejarah perjalanan politiknya yang tidak pernah mencabar sesiapa.

Kata Najib, beliau hanya menunggu peluang dan tidak pernah mencabar sesiapa untuk mendapatkan kedudukan di sepanjang karier politiknya.

“Saya hanya menapak dari satu tangga ke satu tangga, saya tidak pernah mencabar sesiapa di sepanjang karier politik saya.

“Saya akan tawarkan diri bila ada kekosongan.

“Alhamdulillah, resepi itu berjaya dan sekarang saya menjadi pemimpin Malaysia yang tekanannya sangat, sangat tinggi, kata Najib ketika berucap merasmikan Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana atau Smidex 2017 di ibukota.

Untuk apa dan perlu apa Najib menceritakan kisah perjalanan politiknya kepada golongan peniaga kecil dan sederhana?

Apakah mesej yang mahu disampaikannya?

Adakah oleh kerana beliau kini sedang terumbang-ambing dan disebabkan sejarah politiknya tidak pernah mencabar sesiapa selama ini, maka beliau merasakan dirinya tidak harus dijatuhkan oleh sesiapa, baik dalam pilihanraya atau melalui UMNO?

Najib seharusnya sedar, sejarah politiknya hanyalah terpakai untuk kenang-kenangan dirinya saja, tetapi bukan untuk orang lain menurutinya.

Jika beliau tidak pernah mencabar sesiapa dan berjaya menjadi Perdana Menteri, itu barangkali adalah kerana nasib memihak kepadanya.

Namun, ia tidak bermakna, setelah beliau berada di kedudukan Perdana Menteri, tiada sesiapa boleh mencabar atau menjatuhkannya.

Beliau kini boleh saja dijatuhkan sama ada oleh Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan melalui PRU 14 atau ketika pemilihan UMNO selepas itu seandainya keputusan dalam pilihanraya akan datang ini lebih buruk berbanding pilihanraya 2013 lalu.

Dalam pilihanraya 2013, meskipun kalah dari segi undi popular, BN sebaliknya hanya menang 133 kerusi berbanding Pakatan Rakyat yang meraih 89 kerusi.

Meskipun ketika itu, pencapaian Najib lebih buruk berbanding 140 kerusi yang dicapai oleh Tun Abdullah Badawi pada 2008, beliau terus dikekalkan lagi menerajui UMNO dan negara kerana tiada sesiapa sedia untuk mencabarnya, selain disebabkan baru tidak sampai sepenggal menduduki kerusi Perdana Menteri.

Situasi itu mungkin berbeza kali ini.  PRU 14 adalah penentuan hidup dan mati baginya kerana akan dicabar oleh Tun Mahathir dan Pakatan Harapan dalam pilihanraya dan kemudian Zahid Hamidi pula  adalah “cencaru yang bakal menanti hidangan lumayan di waktu petang”.

Jika  BN tumbang, tamatlah riwayat Najib dan Zahid secara serentak. Tetapi kalau BN masih menang, cuma pencapaian dalam PRU 14 lebih buruk lagi berbanding 2013, Zahid Hamidi tidak mungkin akan berdiam diri lagi.

Dengan rangkaiannya yang agak kuat dan menyeluruh dalam UMNO serta penyokong-penyokongnya yang tidak sabar, mereka pasti akan mendesak pengunduran Najib dengan segera bagi memberi laluan kepada Zahid Hamidi pula mengambil alih kepimpinan parti dan negara.

Kiranya Najib tidak sedia mengalah kepada desakan itu, pertembungan beliau dengan Zahid Hamidi tentu tidak dapat dielakkan lagi.

Jika setelah dua kali pilihanraya, 2013 dan 2018, tetapi keputusan tetap makin buruk yang dicapainya, mustahil nasib menyebelahi Najib lagi, meskipun kiranya beliau berbekalkan wang yang banyak untuk mempertahankan kedudukannya.

Bermakna, cabaran yang ada di depan Najib ialah Tun Mahathir melalui peti undi pilihanraya dan Zahid Hamidi yang hanya menunggu apa keputusan PRU 14 nanti.

Ini adalah realiti yang harus Najib hadapi. Jika berani melibatkan diri dengan skandal, mestilah berani juga menghadapi cabaran yang ada di depan.

Menggunakan senjata tidak pernah mencabar sesiapa tidak mungkin mampu menyelamatkan dirinya daripada dicabar untuk dijatuhkan oleh lawannya atau orang yang lain yang mengidam kerusi empuknya itu.

Satu-satunya cara jika Najib benar-benar tidak mahu dicabar atau dijatuhkan oleh sesiapa ialah dengan segera meletakkan jawatannya sebelum PRU 14. Itu saja pilihannya.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.