TIDAK PERLU LETAK FAIZ ‘SETINGGI LANGIT’ – TUNKU ISMAIL

PETALING JAYA – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Mohd Faiz Subri berikutan kejayaannya merangkul Anugerah Puskas Fifa 2016 pada awal pagi Selasa.

Namun Tunku Ismail berkata, rakyat Malaysia terutamanya media tidak perlu terlalu memuja pemain itu dan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa kejayaan itu adalah tanda aras baharu bola sepak negara.

“Bagi saya, saya dan kelab saya tidak mahu tergolong dalam golongan mentaliti orang-orang Malaysia. Ini adalah pencapaian individu yang bagus tetapi di manakah bola sepak tanahair sekarang ini dari segi korupsi, ranking dunia dan sistem pengurusan pasukan dalam negara berbanding dengan pasukan Thailand, Vietnam, Filipina atau Indonesia yang sedang meningkat maju,” jelasnya di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Selasa.

Tunku Ismail berkata, Faiz hanya melakukan satu gol sahaja dan pemain itu  ‘hilang’ sepanjang musim.

“Walaubagaimanapun tahniah di atas pencapaian tersebut tetapi untuk bola sepak Malaysia dan media mengangkat beliau setinggi langit serta rasa selesa dengan kedudukan sekarang, itu adalah salah.

“Inilah sebab mengapa bola sepak Malaysia atau negara susah hendak maju dalam setiap aspek.

“Saya mengatakan perkara yang benar tetapi anda semua memperkatakan perkara yang di dalam khayalan atau mimpi. Tanda aras baru dalam bola sepak tanah air adalah JDT.

“JDT sepatutnya menjadi contoh kelab yang perlu diikuti oleh semua pasukan dalam negara. Bukannya meletakkan seorang yang menjaringkan satu gol sebagai tanda aras”.

Tambah Tunku Ismail, beliau lebih bangga memberi pengiktirafan kepada pemain-pemain seperti Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Santokh Singh, Amri Yahyah, Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Safee Sali, Badrol Radzi, Indraputra, Khairul Fahmi dan Hairuddin Omar.

“Bola sepak kita masih jauh ketinggalan, kedudukan dalam dunia juga masih berada di bawah.

“Tiada orang yang melakukan inisiatif untuk membangkitkan pengurusan bola sepak tanah air termasuk tahap liga kita,” katanya.

– ANN

.