TIDAK MUSTAHIL BN BOLEH DIBUBAR

SENARIO politik di negara kita bakal berubah wajah sekiranya Umno meneruskan usahanya untuk membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen.

Malahan, tidak mustahil BN bakal menghadapi keadaan mencabar sehingga terpaksa dibubarkan.

Demikian pendapat diberikan seorang penganalisis politik, Tan Ah Chai ketika memberikan reaksi ke atas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa BN kemungkinan menghadapi perpecahan sekiranya RUU 355 dibentang dan diluluskan di parlimen.

Menurut Ah Chai, sekiranya Umno bekerjasama dengan Pas, ia tidak semestinya membawa faedah sepenuhnya kerana tidak mendapat sokongan daripada masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Umno dan Pas mempunyai perjuangan politik untuk kaum sama. Namun mereka tidak mampu memimpin rakyat berbilang bangsa dan kerjasama mereka ini dilihat tidak sihat untuk politik negara,” katanya ketika ditemu bual China Press.

Katanya,semua parti yang membantah RUU 355 perlulah menyertai perbahasan di parlimen dan membuang undi tidak menyokong.

“Tidak kira parti komponen dalam BN ataupun pembangkang, ahli-ahli parlimen yang tidak bersetuju tidak boleh bersikap berkecuali kerana jika mereka tidak mengundi, mereka akan dianggap mengabaikan tanggungjawab sebagai ahli parlimen,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik dan ahli akademik, Dr Chandra Muzaffar berkata, pembentangan RUU 355 di parlimen memberikan kesan yang besar terhadap kedudukan politik BN Sabah dan Sarawak, malah menjejaskan prinsip pembentukan dan perlembagaan negara.

Menurut beliau, Umno sepatutnya perlu memikirkan perasaan Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak kerana pembentangan RUU355  sedikit sebanyak mempengaruhi kedudukan undang-undang di negara kita.

– Sinar Harian

.