TIDAK MALUKAH PAS DENGAN NOH OMAR?

Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar bukanlah tokoh yang ada wibawa sangat di mata rakyat. Gelagatnya di Parlimen dan dalam banyak kenyataan yang dikeluarkannya, hujah-hujah beliau lebih kerap disanggah dan kadangkala diperlekeh begitu saja.
Susah mahu mendengar ada orang, rakyat biasa atau ahli UMNO, memuji dan menyanjungnya, apatah lagi mahu meletakkan beliau sebagai antara pemimpin masa depan.
Kerap juga beliau diletakkan sekelompok seperti Hasan Malek atau Ahmad Maslan yang dilihat kerap mengeluarkan kenyataan-kenyataan lawak, tidak masuk akal dan menjadi bahan ketawa ramai.
Betapa tiada wibawa dan tokohnya Noh Omar sehingga ada rakan-rakan dalam UMNO Selangor pernah berkata, jika namanya diumumkan sebagai calon Menteri Besar Selangor, alamat lagi teruklah kalahnya BN dalam PRU 14 akan datang nanti.
Begitulah kedudukan Noh Omar secara amnya di mata, baik di mata rakyat mahu pun ahli UMNO sendiri. Pendeknya, beliau bukan pemimpin yang ada “kelas” sama-sekali.
Tetapi, dalam mengulas pendirian Pas yang memutuskan hubungannya dengan PKR, sedang dalam masa yang sama  ingin kekal lagi dalam kerajaan negeri Selangor, setidak-tidaknya Noh Omar “boleh pakai” juga sebenarnya.
Kata beliau, pendirian Pas itu tidak munasabah, menunjukkan mereka tidak bermaruah dan hanya pentingkan kedudukan dalam kerajaan negeri serta kuasa.
“Kalau Pas kata PKR khianat tahaluf siyasi dengan mereka, kenapa masih mahu berada dalam kerajaan Selangor?
“Pas dan PKR ibarat ”suami isteri” yang sudah bercerai tapi masih mahu tinggal bersama… Pas sanggup jadi ”suami” dayus,” tegas Noh yang merupakan Pengerusi UMNO Selangor.
Dalam hal ini, Noh yang dianggap tidak berwibawa itu pun tahu bahawa pendirian Pas yang hanya memutuskan hubungan politik dengan PKR, tetapi masih kekal bersama dalam kerajaan adalah suatu tindakan yang tidak wajar serta memalukan.
Pas tidak ada pilihan lain selain mengundurkan diri dalam semua kedudukan dan jawatan dalam kerajaan negeri Selangor jika mereka masih ada maruah dan harga diri.
Umpama mudahnya ialah sudah berpisah, tetapi masih duduk serumah dan hari-hari makan semeja dengan bekas pasangan.
Malulah sikit Sheikh!!

Dengan kekal seperti pendirian sekarang, tidak terhinakah Hadi Awang dan seluruh pimpinan Pas kerana Noh Omar ternyata lebih cerdik dan tahu harga diri berbanding mereka?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.