TIDAK LANTIK PEGANG ‘JAWATAN ISTIMEWA’ – IDRIS

MELAKA – Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menafikan dakwaan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini mengenai seorang ahli politik dari Melaka yang dikaitkan dengan dua kes rasuah berprofil tinggi dilantik memegang ‘jawatan istimewa’ dalam UMNO.
Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri memberitahu, ahli politik yang juga bekas pegawai khas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bukan dilantik memegang jawatan penting dalam parti sebaliknya hanya diarahkan untuk membantu kelancaran gerak kerja UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya di Parlimen Tangga Batu.

Menurutnya, tugas pegawai berkenaan termasuk memastikan kerja-kerja pemasa­ng­an bendera dan kain rentang mengikut peraturan ditetapkan selain menyelia pasukan bermotosikal BN.
“Saya beri dia tugas kerana dia masih ahli UMNO. Saya arahkan dia bertugas untuk memastikan semua perkara tersebut berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Kalau itu pun nak jadikan cerita besar saya tidak tahu me­ngapa, kerana dia bukan dilantik memegang jawatan kepimpinan atau pentadbiran parti sebaliknya hanya jawatan pemantauan bagi membantu gerak kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Bandaraya Penyayang Perdana sempena sambutan ulang tahun ke-14 Bandaraya Melaka Bersejarah di Lorong Sawah Tengah, Sungai Udang di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Hussin.

Jelas Idris lagi, pegawai itu diminta membantu parti kerana pada masa sama, dua setiausaha dalam parti sedang mengalami masalah kesihatan dan dirawat di hospital.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kertas siasatan terhadap pegawai berkenaan telah tamat.

“SPRM akan menyerahkan kertas siasatan tersebut kepada timbalan pendakwa raya untuk menentukan keputusan kes berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

– UTUSAN