TIDAK BOLEHKAH SPR MEMPERLIHATKAN DIRINYA BENAR BEBAS DAN BERKECUALI?

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia atau SPR adalah sebuah badan bebas. Kerja mereka ialah menguruskan perjalanan pilihanraya dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya

Antara perkara lain berkaitan pilihanraya yang menjadi tugas SPR ialah mendaftar pengundi dan melakukan persempadanan semula kawasan-kawasan Parlimen dan juga DUN.

Berbanding menguruskan perjalanan pilihanraya atau melakukan pendaftaran pemilih, melakukan persempadanan atau melukis semula kawasan-kawasan pilihanraya seringkali menimbulkan bantahan serta rungutan.

Mengikut undang-undang, persempadanan kawasan pilihanraya perlu dilakukan pada setiap lapan hingga sepuluh tahun sekali. Ia bertujuan mengelakkan ketidakseimbangan pengundi berikutan kemungkinan berlakunya pertambahan penduduk dalam tempoh tersebut.

Kali terakhir persempadanan semula peringkat Parlimen dilakukan ialah pada 2003, di Sabah pada 2005 dan di Sarawak pada 2015 yang lalu.

Persempadanan semula kawasan pilihanraya yang biasanya menyaksikan jumlah kerusi Parlimen turut ditambah, memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat. Itulah yang berlaku sebelum ini seperti yang dilakukan SPR pada 2003, 1994 dan tahun-tahun sebelumnya.

Dalam persempadanan yang dicadangkan SPR kali ini, ia tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen, sebaliknya hanya kawasan-kawasan pilihanraya itu dilukis semula atau dipecah-pecahkan.

Oleh kerana ia tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen, maka kelulusan dua pertiga di Dewan Rakyat adalah tidak diperlukan. Persempadanan kali ini hanya memerlukan undi majoriti mudah daripada Ahli-Ahli Parlimen saja.

Banyak isu timbul dalam persempadanan kali ini. Antara yang paling diperbualkan ialah kawasan Melayu dikecilkan, manakala kawasan yang majoriti bukan Melayu dibesarkan lagi. Lantaran itu, lukisan baru kawasan pilihanraya ini dilihat seolah-olah untuk memberi kelebihan kepada UMNO memenangi banyak kerusi Parlimen dalam PRU 14 akan datang yang menyaksikan “pertarungan hidup atau mati” bagi karier Najib.

Dengan kawasan Melayu dikecilkan, melalui mainan sentimen perkauman, selain kuasa wang dan penggunaan jentera kerajaan, ia dikatakan mampu memberi kelebihan kepada UMNO. Ia juga seolah-olah memperlihatkan kawasan bukan Melayu dan campuran yang dibesarkan itu dilonggokkan untuk dimenangi oleh parti-parti pembangkang.

Berikutan itu, yang banyak membantah ialah parti-parti politik pelbagai kaum dan bukan Melayu. Dalam Pakatan Harapan, semua parti meluahkan bantahan, manakala dalam BN, yang kuat memprotes ialah MCA dan Gerakan. MCA dan Gerakan bagikan dapat melihat nasib mereka hanya sebagai “penumpang tanpa kerusi” saja dalam BN selepas ini.

UMNO, walaupun turut membantah, tetapi hanya di satu dua kawasan saja yang seolah-olah sebagai syarat semata-mata.

Dalam ertikata lain, jika Ahli-Ahli Parlimen BN menyokong usul persempadanan baru ini, maka ia pasti diluluskan, diterima dan digunakan dalam PRU 14 akan datang.

Soalnya, mengapa SPR tidak melakukan tambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri yang wujud banyak pertambahan bilangan penduduk serta kawasan perumahan baru seperti di Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan lain-lainnya?

Tidakkah dengan hanya melukis semula dan bukan melakukan pertambahan kerusi Parlimen, ia dengan sendirinya menunjukkan SPR terikat kepada kedudukan BN dan kerajaan yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen?

Bagaimana jika misalnya ketika ini BN mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, adakah pecahan kawasan yang menyaksikan pertambahan jumlah kerusi Parlimen yang akan dilakukan oleh SPR serta dicadangkan kepada kerajaan atau sekadar lukisan semula sepertimana yang dilakukannya sekarang?

Dalam hal ini, sesuai dengan kedudukannya sebagai badan bebas serta berkecuali, SPR seharusnya membuktikan dirinya benar-benar bebas serta tidak terikat kepada parti yang sedang menguasai kerajaan, walaupun pihak kerajaan yang akan membentangkannya di Parlimen.

Jika pecahan kawasan yang disertai dengan pertambahan kerusi Parlimen itu dilakukan dengan adil, objektif dan benar-benar mengambil kira pentingnya keseimbangan pengundi di semua kawasan pilihanraya, sudah pasti Ahli-Ahli Parlimen, sama ada BN atau pembangkang, tidak ada masalah untuk memberikan sokongan mereka.

Bukankah SPR sepatutnya memberikan khidmat untuk kepentingan pengundi dan rakyat serta tidak bergantung kepada sama ada BN dan kerajaan ada majoriti dua pertiga atau tidak di Parlimen?

Melakukan lukisan semula, antaranya dengan mengecilkan kawasan majoriti Melayu dan membesarkan kawasan bukan Melayu, dengan sendirinya akan mewujudkan ketidakseimbangan politik, tidak kira siapa pun yang akan memenangi pilihanraya. – Sinar Harian