TIDAK BAYAR ROYATI PETROLEUM, HUSAM PERTAHAN TUN MAHATHIR

BACHOK – Di sebalik kecaman terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan mendiskriminasikan Kelantan termasuk tidak membayar hasil royalti minyak, pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) kini menafikan bekas perdana menteri itu individu yang bertanggungjawab meminggirkan negeri ini.

Semasa berucap di ceramah di Pejabat Amanah Bachok disini , Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa menjelaskan Tun Mahathir bukan pemimpin yang menolak tuntutan royalti minyak Kelantan, kerana beliau  tidak lagi menjadi perdana menteri ketika pengeluaran minyak dilakukan pada 2004.

“Ada pemimpin Pas kata Tun Mahathir tidak mahu bayar, orang itu tidak semak, (Tun) Mahathir berhenti 2002, minyak kita keluar 2004, macam mana (Tun) Mahathir nak sekat, minyak pun tak keluar lagi, itu sudah fitnah, jelas mereka yang membuat dakwaan tidak membuat semakan,” katanya.

Pemimpin Pas Kelantan sebelum ini antara yang lantang mendakwa Tun Mahathir mengamalkan diskriminasi termasuk tidak menyalurkan projek yang sepatutnya kepada rakyat Kelantan.

Bekas exco kerajaan Kelantan yang  bertanggungjawab menuntut royalti  itu turut mendakwa, Tun Mahathir juga bukan sahaja menolak hab petroleum di Pantai Senok di Bachok sebaliknya, mendakwa bekas pemimpin nombor satu negara itu telah bersetuju dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk membangunkan projek itu.

“Saya nak betulkan, Tun Mahathir tidak pernah diskriminasi Kelantan, yang jadi  ‘raja’ ketika itu,  Tan Sri Annuar Musa, bukan (Tun) Mahathir, buktinya (Tun) Mahathir pernah setuju dengan Tok Guru Nik Aziz nak bawa pusat petroleum di Senok… sehigga terbina satu kilang, ketika itu lantik KUB Malaysia Bhd (KUB) dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), bagaimanapun tahun 1997-1998 ekonomi kita jatuh dan (projek) tak jadi,” katanya.

Husam berkata, melalui Harapan, pihaknya mahu memastikan idea menjadikan Bachok khususnya Pantai Senok sebagai hab petroleum diteruskan sekiranya mampu memerintah negara selepas PRU14 nanti.

Malah, katanya, secara peribadi, Husam telah bercakap dengan Tun Mahathir dan bekas perdana menteri itu berjanji royalti akan dikembalikan kepada Kelantan.

“Kita boleh semak balik, Bachok masih sesuai pusat pelaburan minyak dan gas sekaligus membawa kemajuan kepada orang kampung, lebih lebih lagi (Tun) Mahathir ada pengalaman, kita akan semak akaun Petronas dan betulkan yang mana salah bayar.

“Ketika ini siapa boleh perjuangan isu royalti, menteri besar (Datuk) Ahmad Yakob tak bersuara pun, wang ehsan yang dapat pun disalurkan kepada (agensi)  persekutuan, kalau Umno menang juga mereka tak bayar royalti,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan beliau bersikap adil kepada Kelantan dengan menyalurkan peruntukan dan pelbagai projek tidak sepertimana di bawah pemerintahan Tun Mahathir.

Malah, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam satu kenyataan mengakui pentadbiran Najib dikatakan lebih baik berbanding zaman Tun Mahathir.

– Sinar Harian

.