TIAN CHUA YAKIN RAFIZI MASIH AHLI PARLIMEN PANDAN

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Tian Chua yakin kerusi parlimen Pandan tidak kosong meskipun Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

“Saya yakin Ahli Parlimen Pandan akan menang dalam rayuan. Dia bukan individu pertama yang di dakwa,”katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam memutuskan Rafizi bersalah memiliki dan mendedahkan dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR didakwa melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972 dimana setiap satu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, beliau bersama-sama kepimpinan Keadilan mengutuk tindakan Perdana Menteri yang mengklasifikasikan keputusan audit berhubung siasatan 1MDB sebagai rahsia.

“Tujuan kita mengaudit sesuatu perkara supaya orang awam boleh tahu dan itu sudah menjadi tanggungjawab seorang wakil rakyat untuk membincangkannya,”katanya.

Tambah Chua, tindakan itu juga secara tidak langsung menafikan hak dan tanggungjawab seorang ahli Parlimen.

SINAR HARIAN

.