Tian Chua tak dapat gambaran sebenar

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Tian Chua tidak mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku dalam PKR Sabah, kata Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin.

Menurut Lajim, apa yang didengar Tian Chua hanya mengenai kestabilan parti yang dimomokkan walaupun sebenarnya pada hakikatnya ramai telah meninggalkan parti itu di negeri tersebut.

“Tian Chua tidak dapat gambaran sebenar. Dia hanya dengar yang pimpinan di Sabah mengatakan parti masih berada di tahap stabil sedangkan pada saya memang sudah ramai yang keluar parti.

“Malah dari semasa ke semasa, pasti akan ramai yang akan keluar meninggalkan parti itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Lajim juga yakin ramai akan mengikut jejaknya selepas beliau mengumumkan untuk keluar parti secara parti semalam.

Untuk langkah seterusnya, kata Lajim, beliau akan turun padang mengadakan siri jelajah memberikan penjelasan kepada rakyat Sabah tentang kepentingan penyertaan rakyat Sabah dalam parti tempatan.

Katanya lagi, siri jelajahnya yang akan merangkumi kawasan-kawasan di seluruh Sabah.

Ujar Lajim lagi, beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang sekiranya berjaya membentuk parti tempatan di Sabah.

Bagaimanapun kerjasama dengan PKR hanya akan diputuskan selepas rundingan diadakan dengan Pakatan Harapan.

“Kami akan rundingkan tentang hasrat rakyat Sabah, peluang ekonomi dan pekerjaan rakyat Sabah serta pengambilalihan jawatan-jawatan dalam kerajaan di Sabah.

“Seharusnya rakyat Sabah juga diberi peluang memegang jawatan peringkat tertinggi Persekutuan,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.