TIAN CHUA TAK BERTANDING JIKA P’RAYA BULAN MAC

Anggota parlimen Batu Tian Chua berkata kelayakan beliau bertanding dalam pilihan raya umum akan datang bergantung kepada hasil rayuannya terhadap sabitan dan denda RM3,000 kerana “menghina kehormatan seorang anggota polis”.

“Jika rayuan saya (hari ini) dinafikan, kita akan teruskan ke Mahkamah Rayuan. Tetapi ia bergantung kepada tarikh pilihan raya.

“Jika pilihan raya diadakan pada Mac, saya tidak akan bertanding.

“Jika pilihan raya lambat, kita lihat keputusan Mahkamah Rayuan dulu,” kata naib presiden PKR itu kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pesuruhjaya Kehakiman Abdul Karim Abdul Rahman sebelum itu menetapkan 2 Mac untuk menyampaikan keputusannya berkaitan rayuan Tian Chua terhadap sabitan dan denda bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Yasmin Abdul Razak pada Mac lalu mendapati Tian Chua bersalah kerana kata-katanya terhadap seorang anggota polis pada April 2014 di Petaling Jaya.

– M’kini

.