Tian Chua: Dakwaan parti serpihan PKR tak berasas

Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini enggan mengulas mengenai dakwaan kononnya wujud permohonan bagi menubuhkan sebuah parti baru oleh bekas pemimpin parti itu.

Malah, Tian turut menyifatkan perkara itu sebagai tidak berasas.

“(Saya) tak faham kenyataan ini, tak mahu komen benda yang tak berasas,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas mengenai sebaran kenyataan di WhatsApp yang mendakwa sejumlah pemimpin dan bekas pemimpin PKR menghantar permohonan untuk menubuhkan parti baru.

Dalam tulisan yang hanya memetik sumber itu, parti pelbagai kaum dan “berlandaskan perlembagaan dan perjuangan asal PKR” itu didakwa akan diwakili oleh hampir 80 peratus pemimpin dan bekas pemimpin PKR sedia ada.

Ia kini didakwa sedang menunggu kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tulisan itu mendakwa, parti baru ditubuhkan kerana PKR lari daripada perjuangan asal ekoran tidak puas hati terhadap kepimpinan Timbalan Presidennya Datuk Seri Azmin Ali.

“Suasana kerakusan perebutan kuasa di kem-kem tertentu dalam PKR dan keadaan cacamarba menyelubungi suasana politik PKR,” menurut artikel yang dinafikan itu.

Tulisan itu mendakwa satu rombongan bekas-bekas pemimpin PKR telah berjumpa bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, yang kemudian didakwa memberi sokongan dari belakang.

Malaysiakini juga sedang mendapatkan respon daripada Khalid berhubung dakwaan berkenaan. – M’kini

.