TIADA YANG BIDA HOTEL JHO LOW DI NEW YORK

Lelongan untuk menjual sebuah hotel New York yang dimiliki sebahagiannya oleh ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low gagal menarik sebarang bidaan.

The New York Times yang memetik sumber melaporkan tiada bidaan bagi Hotel Park Lane di Manhattan “atau sekurang-kurangnya AS$ 1bilion yang disasarkan penjual”

Hotel Park Lane dijual selepas Jabatan Kehakiman AS (DOJ) memfailkan saman pelucuthakan sivil untuk merampas lebih AS$ 1.7 bilion aset, termasuk hotel, yang didakwa dibeli menggunakan dana daripada 1MDB.

Jho Low telah membeli 55 peratus kepentingan bagi bangunan 47 tingkat itu.

Pemilik bersamanya, termasuk pemaju Steven Witkoff dan Mubadala Investment Company dari Arab Saudi, telah mencapai persetujuan untuk menjual bangunan itu dengan kerajaan AS mengambil alih saham Jho Low.

Bagaimanapun, walaupun pembeli berpotensi mungkin bimbang mengenai peranan berterusan DOJ pada harta tanah itu, New York Times menyebut mengenai faktor lain seperti masa yang tidak sesuai dan pasaran yang lemah.

“Saya fikir ia adalah tapak terhebat dunia untuk pembangunan. Masalahnya adalah masa,” kata pengarah hotel dan hospitaliti JLL, Jeffrey Davis.

Sementara itu Chad Crandell, ketua eksekutif CHMWarnick, sebuah syarikat yang mengkaji hotel milik firma Asia dan Timur Tengah berkata “Tidak ada yang ingin menjadi yang terakhir untuk membeli sebuah hotel pada masa ini.”

“Keseluruhan pasaran transaksi telah lemah. Terdapat banyak ketidakpastian,” Crandell menambah.

Menurut DOJ, Low telah menggunakan dana daripada pengubahan wang haram melalui Hotel Park Lane bagi membeli barang kemas untuk model Australia, Miranda Kerr.

Kehadiran Low kini tidak diketahui, walaupun kapal layar mewahnya- yang juga didakwa dibeli dengan dana 1MDB – dikesan berada di Aceh pada 23 Oktober lalu.

– M’kini

.