TIADA SIAPA HENDAK MASUK UMNO SEKARANG, KATA TAMRIN GHAFAR

TIADA orang yang mahu masuk Umno sekarang, kata Tamrin Ghafar, menafikan desas-desus beliau akan kembali menyertai parti terbesar orang Melayu itu.

“Tidak ada siapa yang nak masuk Umno sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tamrin diminta mengulas khabar angin yang tersebar semalam kononnya beliau antara bekas pemimpin parti yang akan pulang ke pangkuan Umno dan kemasukannya akan diumumkan dalam sidang media khas Perdana Menteri Najib Razak semalam.

Menurut Tamrin, beliau tidak mengetahui mengenai khabar angin yang tersebar itu.

Jelas beliau, namanya mungkin dimasukkan dalam senarai itu oleh blogger Umno “untuk sedapkan cerita.”

“Terima kasih kerana masih ingat nama saya,” kata Tamrin.

Najib semalam mengumumkan kemasukan semula bekas naib presiden Umno, Muhammad Muhammad Taib ke dalam parti itu dalam sidang media yang heboh sejak petang Sabtu.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan sidang media itu sepatutnya lebih besar daripada hanya mengumumkan kemasukan semula Muhammad, sebaliknya adalah untuk mengisytiharkan penyertaan Muhammad serta keputusan lapan Adun Selangor dari PKR keluar parti, sekaligus mengulangi episod peralihan kuasa di Perak pada 2009.

Tamrin pernah jadi ahli Parlimen kawasan Batu Berendam selama dua penggal antara 1986 hingga 1995. Dalam tempoh itu, beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat antara 1991 hingga 1993.

Beliau kemudian keluar Umno pada 2012 dan menyertai PAS sebagai ahli seumur hidup. Ketika itu, Tamrin berkata beliau Umno sudah terbabas dari landasan asalnya membela rakyat dan beliau sudah bersedia “mewakafkan masa dan batang tubuhnya” untuk perjuangan PAS.

Tamrin bagaimanapun keluar PAS dua tahun kemudian dan sejak itu tidak menyertai mana-mana parti politik.

Beliau keluar PAS sebagai membantah tindakan parti Islam itu menggantung keahlian dua wakil rakyatnya di Selangor, Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin kerana menyokong pencalon Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor ketika episod Langkah Kajang.

Tamrin kemudian menyertai sekretariat Deklarasi Rakyat yang digerakkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebelum bekas perdana menteri itu menubuhkan Bersatu. Tamrin bagaimanapun kemudian menarik diri daripada sekretariat dan tidak menyertai Bersatu. Beliau enggan menyatakan alasannya berbuat begitu.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.