TIADA SALAHNYA MUHYIDDIN MAHU BEBASKAN ANWAR, MALAH IA SENADA DENGAN KEINGINAN TUN M

Apabila Muhyiddin Yassin menyatakan PPBM turut bersetuju untuk menjadikan pembebasan Anwar Ibrahim sebagai agenda bersamanya, pelbagai spekulasi dan andaian timbul daripada kenyataan beliau itu.
Ada yang setuju dan melihat langkah itu akan menjadikan hubungan PPBM dengan PKR dan Pakatan Harapan lebih akrab, tetapi ada juga yang mencemuhnya sambil menyindir, kenapa hanya Anwar yang mahu dibebaskan?
Dalam kenyataan yang disebut oleh Muhyddin, beliau mengatakan usaha membebaskan Anwar itu ialah agenda yang hanya boleh dilakukan selepas PRU 14 akan datang, dengan syarat PPBM menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Lantaran itu, katanya, rakyat perlu membantu menumbangkan BN terlebih dahulu jika ingin melihat Anwar dibebaskan. Maknanya, ia bukanlah perkara yang boleh dilakukan sebelum pertukaran kerajaan.
Kenyataan Muhyiddin itu kalau dihalusi tidak ada yang janggalnya, malah senada juga dengan Tun Mahathir semalam yang mengatakan ia hanya dapat dipertimbangkan jika pihaknya dapat menakluk kerajaan.
“Pada masa ini kita tak boleh janji sebab tidak ada kuasa. Tetapi kalau itu kehendak semua, takkan kita nak kata tak boleh pula. Kita akan lihat kemudian mengenai pembebasan Anwar itu,” ujar Tun Mahathir lagi yang baru-baru sudah bertemu dan bersalaman dengan bekas timbalannya itu.
Sebagai Presiden PPBM, Muhyiddin memang kena menunjukkan komitmen dan kebersamaannya dalam isu perjuangan untuk membebaskan Anwar kerana beliau sebelum ini sudah pun diterima “secara politiknya” oleh Anwar sendiri sebagai bakal Perdana Menteri kiranya BN dapat ditumbangkan.
Pada 30 Julai lalu, Muhyiddin dan PKR telah mengumumkan persetujuan untuk mengadakan program jelajah bersama ke seluruh negara berkaitan 1MDB. Dalam sidang media itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali hadir mewakili PKR bersama dengan Munyiddin.
Sudah tentu persetujuan PKR bekerjasama dengan Muhyiddin itu, tambahan pula Dr Wan Azizah dan Azmin turut hadir, adalah atas restu dan mungkin juga merupakan kehendak Anwar.
Kemudian pada 11 Ogos, Anwar turut mengeluarkan kenyataan meminta Muhyiddin agar segera menggerakkan parti yang baru didaftarkan itu. Ketika itu ia masih mahu dikenali sebagai BERSATU sebelum Pendaftar Pertubuhan tidak membenarkannya, sebaliknya mengizinkan ia dikenali sebagai PPBM.
Kenyataan Anwar itu jelas memperlihatkan beliau mahukan Muhyiddin dan parti barunya benar-benar berperanan dan saling bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan untuk memenangi pilihanraya akan datang.
Jika difahami, ia juga sebenarnya adalah suatu “endorsment” kepada Muhyiddin sebagai bakal Perdana Menteri akan datang, ¬†dengan syarat PPBM benar-benar berperanan dan menumbangkan banyak kerusi UMNO dalam pilihanraya akan datang.
Sudah tentu, Muhyiddin akan dilihat sombong jika tidak membalas pengesahan Anwar itu yang diakui rakyat lebih dulu memperjuangkan reformasi dan pembaharuan untuk negara ini.
Anwar sedar beliau tidak mungkin dapat bertanding dalam PRU 14 akan datang. Kalau pun dibebaskan lebih awal, masih ada tempoh sekatan tertentu yang perlu dipatuhinya. Peluang Anwar bertanding mungkin hanya muncul pada PRU 15 atau lebih awal daripada itu jika diberikan pengampunan diraja.
Untuk itu, sekiranya BN dapat dikalahkan, calon Perdana Menteri yang nampaknya dipersetujui oleh Anwar tidak lain ialah Muhyiddin. Berdasarkan pengalaman, wibawa, ketokohan dan pelbagai jawatan dalam kerajaan sebelum ini, Pakatan Harapan pasti tiada halangan untuk menerima Muhyiddin.
Muhyiddin bersetuju untuk membebaskan Anwar tidak lebih sebagai isyarat bahawa beliau menyahut dan bersetuju dengan apa yang Anwar sedang lontarkan sebelum itu. Ia tidak salah apa-apa, yang salah hanya jika kita masih mahu mengekalkan Najib, UMNO dan BN lagi dalam PRU 14 akan datang nanti.
–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/
.