TIADA PERSETERUAN DALAM UMNO SEMPORNA

SEMPORNA – Tiada perseteruan dalam kalangan anggota Umno Bahagian Semporna, kata pemangku ketuanya, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Katanya, ‘pergolakan’ yang nampak berlaku itu hanya sengaja dimainkan pihak tertentu.

“Tiada apa yang berlaku di Umno Semporna ini, bergaduh kecil itu ibarat bergaduh dalam ikatan kekeluargaan seperti sesama adik-beradik. Tersalah faham itu perkara biasa dan kita sedaya upaya cuba perbaiki kekurangan serta kelemahan,” katanya.

Beliau yang juga Adun Senallah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis solat hajat perdana bagi calon Pentaksiran Tingkatan Tiga, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia di surau Sekolah Menengah Agama Tun Sakaran di sini, hari ini.

Beliau berkata perkembangan Umno ketika ini adalah normal dan pelbagai perkara berbangkit di media sosial itu adalah lumrah.

“Fokus kita adalah bekerja mendekati rakyat, meneruskan kerja membantu rakyat menerusi program yang disediakan kerajaan,” katanya lagi.

– Bernama

.