TIADA PERBINCANGAN POLITIK KETIKA AZIZAH LAWAT HADI’

PETALING JAYA – Pas menafikan kunjungan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta naib presiden parti itu, Dr Shaharuddin Badaruddin ke kediaman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru adalah bagi membincangkan kerjasama politik.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan kunjungan itu hanyalah bertujuan untuk menziarahi Abdul Hadi selepas menerima rawatan di Institusi Jantung Negara (IJN) ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya.

“Pada awalnya kunjungan itu adalah inisiatif Mohamed Azmin sendiri dan selepas itu kita juga dimaklumkan bahawa Wan Azizah dan Shaharuddin turut serta. Ziarah orang sakit ni tak banyak bincang.

“Siapa nak mari ziarah, kita terbukalah. Najib pun datang ziarah, siapa mahu datang ziarah, boleh datang,” jelasnya pada sidang media di Program Munaqasyah, hari ini.

Sabtu lalu,  Abdul Hadi menerusi laman Facebook rasminya telah berkongsi gambar pertemuan itu tanpa dinyatakan apakah tujuan pertemuan itu diadakan dan hasil pertemuan tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi dikunjungi pimpinan tertinggi PKR]

Perkara itu sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa PKR masih mahu mengadakan kerjasama dengan Pas.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa Pas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama politik dengan PKR dan DAP selaras dengan polisi parti yang telah ditetapkan dalam Majlis Syura Ulamak pada Mei lalu.

Bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa Pas masih terbuka untuk mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak berhubung perkara yang tidak melibatkan kerjasama politik.

“Kita terbuka dan tidak tutup pintu rundingan malah kita ‘engage’ dengan semua pihak. Cuma kita berpegang pada polisi parti yang telah ditetapkan.

“Dalam konteks kerjasama politik, memang tidak ada. Politik kita ini bukanlah politik budak-budak tapi lebih matang dan ini adalah budaya yang Pas mahu bawa pada rakyat,” katanya pada sidang media di Program Munaqasyah, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini Pas sedang memberi fokus terhadap kemampuan Gagasan Sejahtera untuk bertanding di PRU14 akan datang.

“Soal rundingan itu kita sentiasa terbuka tapi bagi Pas sekarang kita fokus menggerakkan jentera dan akan melihat kekuatan serta kemampuan kita di berapa kerusi yang diyakini boleh mencapai kemenangan.

“Lagi pun pesuruhjaya parti juga telah memberi arahan kepada semua Dewan Undangan Negeri (Dun) kita untuk bersedia mengemas kini jentera dan gerak kerja bagi menghadapi PRU nanti,” katanya.

– SH

.