TIADA MAKLUMAT TENTANG DEKLARASI EJEN FBI TENTANG 1MDB, KATA MENTERI

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menerima sebarang maklumat daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengenai deklarasi agennya yang bakal saksi dalam saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat terlalu takut untuk bercakap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low mengatakan demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada pertanyaan Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah tentang sama ada SPRM sudah membuka kertas siasatan baru berkaitan dokumen mahkamah yang difailkan Ejen Khas FBI Robert Heuchling di Los Angeles.

“SPRM tidak ada menerima apa-apa maklumat daripada pihak FBI berhubung deklarasi bertulis yang didakwa ditulis oleh pegawai FBI bernama Heuchling,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 16 November.

Pada September, FBI dalam pemfailan di mahkamah mengatakan beberapa individu di “beberapa negara asing tertentu” bimbangkan keselamatan mereka, sementara ada juga bakal saksi yang mengatakan terlalu merbahaya untuk memberikan kerjasama dalam siasatan jenayah skandal 1MDB.

Pemfailan itu mengatakan, saksi yang tampil memberikan maklumat memberitahu FBI yang mereka bimbangkan “risiko serius terhadap keselamatan diri dan keluarga mereka”.

FBI juga memetik laporan berita Malaysia tentang pegawai tempatan yang ditahan kerana peranan mereka dalam siasatan penyelewengan 1MDB.

Ia memetik kejadian tembakan berlaku ke atas pemandu bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail pada 29 Ogos sebagai “berkemungkinan amaran” kepadanya supaya tidak bekerjasama dengan AS. Gani melancarkan siasatan awal terhadap skandal 1MDB.

Jabatan Negara AS(DoJ) melancarkan siasatan jenayah ke atas dana pelaburan negara itu atas dakwaan mencuri daripada 1MDB dan berusaha menangguhkan saman sivil yang difailkan sejak dua tahun lalu untuk merampas hartanah dan pelbagai aset mewah lain bernilai lebih daripada AS$1bilion (RM4.3 bilion).

Dalam saman sivil itu, DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih daripada AS$4.5 bilion milik 1MDB dipindahkan kepada pegawai atasan dana pelaburan negara itu dan sekutu mereka.

Siasatan AS itu adalah sebahagian daripada usaha global mengesan penyelewengan atau penggubahan wang haram yang berlaku dalam 1MDB melibatkan AS$6 bilion dananya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.