TIADA LAGI PERBINCANGAN PKR-PAS DI SELANGOR

SHAH ALAM – PKR tidak akan mengadakan sebarang perbincangan lagi dengan Pas berhubung pembahagian kerusi di Selangor bagi menghadapi PRU14.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu selaras dengan persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Isnin lepas yang menolak sebarang kerjasama dengan Pas pada PRU14 .

“PKR secara rasmi tidak akan mengadakan kerjasama dengan Pas sebaliknya akan memberikan fokus kepada penyusunan strategi bagi mengadapi pertandingan tiga penjuru pada PRU14 kelak.

 “Keputusan ini kita terima dan akan kami laksanakan, fokus kita sekarang ialah untuk membina jentera bagi PRU14,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 Ditanya mengenai ketidakhadirannya  pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan Mesyuarat Biro Politik PKR ketika membincangkan perkara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beliau mempunyai urusan lain pada waktu berkenaan.

Sebelum ini, kenyataan Mohamed Azmin yang sedia berbincang dengan Pas berhubung pembahagian kerusi di Selangor  bagi menghadapi PRU akan datang, tidak disenangi beberapa pemimpin PKR termasuk Naib Presidennya Rafizi Ramli yang membantah kerana boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan penyokong.

Pada Mei lepas, Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan menamatkan ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama politik dengan PKR selepas kecewa dengan beberapa tindakan PKR yang dikatakan membelakangkan parti itu.

-Bernama

.