TIADA LAGI ALASAN, POLIS KENA CARI ANAK SAYA, KATA INDIRA GANDHI

POLIS tidak ada alasan lagi dan perlu mencari Prasa Diksa, anak bongsu kepada M. Indira Gandhi, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan penukaran agama secara sebelah pihak terhadap tiga anaknya kepada Islam.

“Ketua polis negara tidak ada alasan lagi. Ada keputusan mahkamah sekarang. Jadi dia tidak boleh kata dia tidak boleh buat apa-apa. Dia kena bertindak sekarang,” katanya di luar mahkamah hari ini.

Peguamnya, M. Kulasegaran berkata polis perlu mencari K. Padmanathan iaitu bekas suami Indira yang kini dikenali dengan nama Muhammad Riduan Abdullah, dan menjejaki di mana Prasa Diksa berkata.

“Ini perintah Mahkamah Tinggi. Sebarang tindakan melengahkan pemulangan kanak-kanak itu tidak boleh diterima,” katanya.

Prasana Diksa yang kini berusia sembilan tahun, ditukarkan agamanya oleh Riduan ketika berusia 11 bulan, dan berada dalam jagaan bapanya sejak Mac 2009 ketika Riduan membawa bayi itu dan meninggalkan Indira.

Keadaan menjadi rumit apabila Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi sivil memberikan hak jagaan tiga anak itu masing-masing kepada Riduan dan Indira.

Polis tidak bertindak mengikut perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 yang mengarahkan Riduan memulangkan Prasana dan polis sepatutnya mencari mereka.

Pada September tahun sama, peguam negara bagi pihak polis memfailkan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Ipoh untuk polis mengesan di mana Riduan.

Ketua polis pada masa itu, Khalid Abu Bakar berkata polis akan mematuhi perintah mahkamah. Khalid kemudian bersara dan di mana Riduan berada masih tidak diketahui.

Indira kelihatan sangat lega ketika keputusan dibacakan di mahkamah hari ini. Mahkamah Persekutuan hari ini penuh sesak dengan peguam, media, ahli keluarga dan rakan Indira.

Indira menahan sebak pada sidang media yang diadakan kemudian, meluahkan kegembiraannya selepas perjuangannya selama sembilan tahun di mahkamah, akhirnya tamat.

“Saya berterima kasih kepada semua peguam yang membantu dan berada di samping saya.

“Banyak yang sudah kami lalui. Terima kasih kepada hakim dan semua yang menyokong saya.

“Tetapi anak saya masih hilang. Saya hendak jumpa dia, saya betul-betul rindu hendak memeluknya. Sudah sembilan tahun. Bila dia akan pulang?  

“Terlalu banyak perkara saya hendak kongsi dengannya. Kami menang kes ini dan dia tiada di sini. Itu yang paling sedih, terutama sekali inilah masa yang saya nantikan selama ini.”

Dua lagi anaknya berumur 12 dan 11 tahun ketika ditukarkan agama mereka oleh Riduan. Kedua-duanya kini berusia 20 dan 19 tahun dan mereka tinggal bersama Indira.

Indira, 42, seorang guru tadika memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan majoriti 2-1 pada 30 Disember, 2015 yang memerintahkan sijil penukaran agama kanak-kanak itu dikembalikan, yang sebelum itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

Mahkamah Rayuan memutuskan mahkamah tinggi sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berkenaan pengesahan penukaran agama kanak-kanak itu, yang terletak eksklusif bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

– https://www.themalaysianinsight.com

.