TIADA LAGI AKHBAR BERCETAK NSTP DI SABAH, S’WAK

Hari ini menandakan berakhirnya penjualan akhbar terbitan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) secara cetakan di Sabah dan Sarawak.

Menurut laporan BH Online semalam, pembaca di negeri itu hanya boleh mengikuti tiga akhbar syarikat itu, Berita HarianHarian Metro dan New Straits Times menerusi versi atas talian.

Berita akan sampai lebih cepat kepada pembaca melalui cara itu, kata laporan itu lagi.

“Dengan perubahan ini, saya dapat membaca akhbar dengan lebih cepat setiap hari serta lebih penjimatan,” kata seorang pembaca, Norpepitawati Solong, 21, seperti dipetik.

Namun statistik terbaru Biro Audit Pengedaran Malaysia (ABC) menunjukkan penurunan besar edaran  akhbar-akhbar utama, melibatkan semua bahasa.

Bagi tempoh 2012 hingga 2016, Harian Metro menunjukkan penurunan edaran sebanyak 62.5 peratus, daripada 379,169 kepada 142,262 naskhah.

New Straits Times pula mengalami kemerosotan sebanyak 41.6 peratus, daripada 93,321 kepada 54,490 naskhah tahun lalu.

Berita Harian dan sebuah lagi akhbar arus perdana bahasa Melayu, Utusan Malaysia mengalami kemerosotan edaran sehingga 30 peratus bagi tempoh sama.

– M’kini

.